KOTA TINGGI: Orang ramai dinasihatkan supaya mengelak dari memasuki kawasan bandar Kota Tinggi susulan beberapa laluan telah dinaiki air, akibat hujan berterusan tanpa henti sejak semalam.

Jabatan Kerja Raya (JKR) Kota Tinggi dalam satu kenyataan menerusi laman sosial Facebook memaklumkan, hingga pukul 8 pagi tadi, terdapat enam laluan telah dinaiki air.

"Antara laluan yang dinaiki air ialah Jalan Tun Sri Lanang (Landmark Simpang Kampung Makam), Jalan Tun Sri Lanang (Bandar Kota Tinggi) dan Jalan Kota Kecil (Stesen Minyak Petronas).

“Tiga lagi laluan ialah Jalan Kota Tinggi-Kluang (Kampung Jawa), Jalan Kota Tinggi-Kluang (Sekolah Menengah Kebangsaan Tun Habab) dan Jalan Kota Tinggi-Kluang (Kampung Batu 25),” menurut kenyataan tersebut.


Kenyataan itu juga memaklumkan setakat jam 11.30 pagi tadi, FT99 Jalan Lok Heng/Mawai/Sg Mas ditutup untuk semua kenderaan ringan kerana dinaiki air.

"Laluan FT003 Jalan Johor Bahru-Mersing, Landmark Sg Mupur berhampiran Kimlong juga dinaiki air banjir.

"Terdapat dua jalan alternatif dari Johor Bahru ke Mersing iaitu laluan pertama FT003 Johor Bahru-FT003 Kota Tinggi (Bypass)-FT92 Jln Sg Rengit-Desaru-Tenggaroh-Mersing.

"Manakala Laluan Kedua FT003 Johor Bahru-E22 Lebuhraya SDE- Desaru-Tenggaroh-Mersing," tulis kenyataan itu lagi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, beberapa jalan di daerah terjejas juga tidak boleh dilalui akibat dinaiki air.

Katanya, ia melibatkan laluan di daerah Segamat, Kulai, Kluang, Mersing, Kota Tinggi, Johor Bahru dan Batu Pahat.

"Tujuh jalan ditutup sepenuhnya untuk semua jenis kenderaan.

"Antaranya Jalan Kluang-Mersing (FT050), Jalan GSA -Chamek (J99), Jalan Senai-Gemas (FT001), Kampung Tenang (J151), Jalan Jamaluang- Batu Pahat (FT050) dan Jalan Johor Bahru -Seremban (FT1)," katanya.