KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Kelantan meningkat dengan Pasir Mas menjadi daerah ketiga di negeri itu yang dilanda bencana alam itu, pada pagi Khamis.

Menurut Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat, seramai 405 mangsa daripada 103 keluarga kini ditempatkan di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di negeri terbabit.

Daerah lain yang masih terjejas di Kelantan termasuk Pasir Puteh dan Bachok.

Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) melaporkan, amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di jangka berlaku di beberapa daerah di Kelantan sehingga Jumaat membabitkan kawasan Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Tanah Merah, Bachok, Machang, dan Pasir Puteh.

Sementara itu di Terengganu, jumlah mangsa banjir mencatatkan sedikit penurunan dengan 3,288 orang daripada 878 keluarga masih ditempatkan di PPS.

Sebanyak 27 PPS telah dibuka di negeri terbabit melibatkan kawasan Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Marang dan Besut.