ALOR SETAR: Hujan lebat dan berlarutan sehingga lewat malam tadi menjadikan Sik daerah terbaharu dilanda banjir di negeri ini.

Seramai tujuh mangsa dari dua keluarga dipindahkan ke dua pusat pemindahan sementara (PPS) yang mula dibuka pada jam 10 malam tadi.

PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Sik menempatkan seramai dua mangsa daripada satu keluarga manakala di PPS SK Chepir menempatkan seramai lima mangsa daripada satu keluarga.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, ini menjadikan jumlah mangsa banjir di Kedah bertambah kepada 840 orang pagi ini, berbanding 833 mangsa yang dilaporkan malam tadi.

“Dua belas PPS di negeri ini aktif menempatkan keseluruhan mangsa banjir yang seramai 840 orang daripada 227 keluarga, di lima daerah iaitu Kota Setar, Pokok Sena, Kubang Pasu, Pendang dan Sik.

“Daerah Kota Setar mencatatkan seramai 543 mangsa daripada 149 keluarga.

“PPS di SK Langgar masih kekal dengan 80 orang daripada 23 keluarga, PPS SK Suka Menanti dengan 33 mangsa daripada 12 keluarga manakala PPS SK Darul Hikmah dengan 114 mangsa daripada 31 keluarga," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Selain itu, PPS SK Convent masih kekal dengan 91 mangsa dari 24 keluarga manakala PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent pula menempatkan seramai 163 mangsa daripada 44 keluarga.

Sementara itu, PPS di SMK Simpang Kuala di Kota Setar menempatkan seramai 62 mangsa daripada 15 keluarga.

Mohd Muaz berkata, mangsa banjir di Pendang terdiri daripada 281 mangsa daripada 74 keluarga, yang ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah (200 mangsa daripada 49 keluarga) dan PPS Dewan Cenderawasih (81 mangsa daripada 25 keluarga).

Beliau berkata, PPS di daerah Pokok Sena iaitu di SK Tualang pula, masih kekal dengan empat mangsa daripada satu keluarga.

Di daerah Kubang Pasu, seramai lima mangsa dari satu keluarga ditempatkan di PPS SMK Ayer Hitam.