ALOR SETAR: Fenomena air pasang yang berlaku sejak malam tadi menyebabkan beberapa kawasan di daerah Kota Setar dinaiki air, sekali gus menyebabkan jumlah mangsa banjir di negeri ini terus meningkat.

Jumlah terkini setakat jam 6 petang mencatatkan pertambahan jumlah mangsa 932 orang daripada 262 keluarga dipindahkan ke 13 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di empat daerah.

Ketua Bahagian Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Mohd Muaz Mohd Yusoff berkata, pertambahan ini menjadikan jumlah tujuh PPS di daerah Kota Setar diaktifkan.

PPS terbaru dibuka di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent di daerah Kota Setar yang menempatkan seramai 69 mangsa dari 21 keluarga.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan mangsa banjir di daerah itu meningkat seramai 524 mangsa dari 156 keluarga yang berpindah ke PPS akibat banjir.

"Mangsa di PPS di Sekolah Kebangsaan (SK) Langgar masih kekal menempatkan seramai 80 mangsa dari 23 keluarga manakala di PPS SK Suka Menanti menempatkan seramai 67 mangsa dari 25 keluarga dan PPS di SK Haji Wahab menempatkan seramai 33 mangsa dari lapan keluarga.

"Selain itu, mangsa yang ditempatkan di PPS SK Titi Gajah pula seramai 87 mangsa dari 32 keluarga manakala PPS di SK Convent pula menempatkan seramai 70 mangsa dari 17 keluarga manakala PPS di SK Darul Hikmah pula seramai 118 mangsa dari 32 keluarga," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mohd Muaz berkata, keseluruhan mangsa banjir di daerah Pendang pula adalah seramai 281 mangsa dari 73 keluarga.

Beliau berkata, mereka ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan Tanah Merah iaitu seramai 206 mangsa dari 50 keluarga manakala di PPS Dewan Cenderawasih seramai 75 mangsa dari 23 keluarga.

"Jumlah eseluruhan mangsa banjir di dua PPS di daerah Pokok Sena pula masih kekal iaitu seramai 47 mangsa dari 14 keluarga," katanya.

Mohd Muaz berkata, PPS Surau Kampung Permatang Limau menempatkan seramai 25 mangsa dari lapan keluarga manakala PPS SK Tualang seramai 22 mangsa dari enam keluarga.

Katanya, jumlah keseluruhan mangsa banjir di daerah Kubang Pasu pula menurun daripada 100 orang kepada 80 orang yang ditempatkan di dua PPS di daerah itu.

"Seramai 52 mangsa dari 14 keluarga ditempatkan di PPS Dewan Kampung Tradisi Lembah Keriang manakala PPS SK Malau menempatkan seramai 28 mangsa dari lima keluarga.

"Jumlah mangsa dijangka meningkat berikutan air pasang besar yang berlaku bermula hari ini sehingga 7 November," katanya lagi.