KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Parlimen Mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Kebebasan Maklumat 2026 bersetuju mengadakan sesi National Townhall pada 28 Sept ini bagi memperluas penyertaan pihak berkepentingan dan masyarakat awam dalam proses penelitian RUU berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said berkata keputusan itu dibuat selepas jawatankuasa meneliti pelbagai pandangan dan maklumat balas pihak berkepentingan, supaya isu-isu utama berkaitan kerangka RUU itu dipertimbangkan secara menyeluruh, sebelum syor dan pandangan jawatankuasa dimuktamadkan.
Beliau berkata jawatankuasa juga telah mendengar pandangan dan pembentangan daripada Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi berkaitan perspektif perlembagaan dan perundangan, serta meneliti maklum balas tambahan Jabatan Peguam Negara (AGC) terhadap isu yang dibangkitkan dalam mesyuarat terdahulu.
“Ini merupakan antara reformasi penting yang memerlukan penelitian mendalam dan seimbang bagi memastikan kerangka yang diwujudkan dapat dilaksanakan secara berkesan dan bertanggungjawab, dengan mengambil kira kepentingan awam serta pertimbangan perundangan yang berkaitan,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat RUU itu, hari ini.
Dalam sesi berasingan, Azalina memaklumkan beliau turut mempengerusikan Mesyuarat Ketiga JKPK Parlimen Mengenai RUU Bidang Kuasa Admiralti 2026, yang antara lain meneliti maklum balas AGC terhadap pandangan pelbagai pihak berkepentingan, termasuk Tan Sri Nallini Pathmanathan dan Majlis Peguam Malaysia.
“Jawatankuasa turut meneliti hasil perbincangan antara Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM), Kementerian Pengangkutan, AGC dan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan bagi mencapai titik tengah terhadap beberapa perkara yang dibangkitkan sebelum Penyata JKPK dimuktamadkan,” katanya.
Azalina berkata mesyuarat JKPK RUU Bidang Kuasa Admiralti dihadiri oleh Ahli Parlimen Tebrau, Simpang Renggam, Stampin, Lumut, Padang Rengas dan Jerantut, manakala mesyuarat RUU Kebebasan Maklumat melibatkan Ahli Parlimen Selayang, Kuala Pilah, Bangi, Puchong, Lubok Antu, Kota Belud dan Pasir Mas.
-- BERNAMA