SEREMBAN: Stadium Tuanku Abdul Rahman (STAR), Paroi sedang dinaik taraf secara berperingkat melibatkan peruntukan keseluruhan lebih RM6 juta bagi meningkatkan kemudahan serta keselesaan pasukan dan penyokong.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Belia dan Sukan Negeri Sembilan Datuk Mustapha Nagoor berkata projek naik taraf yang dibiayai Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Bandaraya Seremban itu melibatkan empat fasa utama dengan dua daripadanya telah siap, manakala selebihnya sedang dilaksanakan.
Beliau berkata dua projek telah siap dinaik taraf melibatkan bilik persalinan pasukan tuan rumah dan pelawat kira-kira RM500,000 serta kerja mengecat keseluruhan stadium dengan kos melebihi RM600,000.
"Dua lagi projek dalam pelaksanaan ialah menaik taraf lampu limpah dan sistem pencahayaan stadium termasuk pendawaian serta pengalihan tiang, membabitkan peruntukan kira-kira RM4.3 juta, selain kerja membaik pulih tandas awam dan surau dengan kos kira-kira RM650,000," katanya.
Mustapha berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan tinjauan projek naik taraf Stadium Tuanku Abdul Rahman di sini, hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri Palong itu berkata projek naik taraf sistem pencahayaan termasuk lampu limpah di STAR dijangka siap November ini sekiranya struktur asas tiang sedia ada masih boleh digunakan atau selewat-lewatnya pada Mac tahun hadapan.
Beliau berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang menjalankan pemeriksaan teknikal terhadap asas tiang lama bagi menentukan sama ada struktur itu masih kukuh dan boleh digunakan sebelum mengambil tindakan lanjut.
“Kali terakhir kerja naik taraf stadium berskala besar ini dilakukan pada 2004 bersempena dengan Sukan Malaysia (SUKMA), sekali gus menjadikan penambahbaikan kali ini amat diperlukan selepas lebih 20 tahun.
“Kerajaan negeri turut berterima kasih kepada KBS yang menyalurkan peruntukan bagi meningkatkan fasiliti sukan di negeri ini termasuk menaik taraf Stadium Hoki di Seremban 2 bernilai lebih RM5 juta,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Mustapha berkata Negeri Sembilan FC (NSFC) perlu merangka strategi lebih berkesan selain memastikan semua pemain turun dengan semangat dan motivasi tinggi pada perlawanan Liga Super serta Piala FA 2026-2027.
Beliau berkata sokongan penyokong terhadap pasukan itu amat tinggi, dengan lebih 2,000 peminat hadir menyaksikan perlawanan minggu lepas walaupun berlangsung pada sebelah petang.
-- BERNAMA