SUNGAI PETANI: Satu lagi pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah Kuala Muda iaitu di Dewan Masjid Al Huda, Kampung Jerung, dibuka jam 3 pagi hari ini menjadikan jumlah PPS yang aktif adalah tiga buah.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Muda, Kapten (PA) Azahar Ahmad berkata, jumlah terkini mangsa banjir yang ditempatkan di tiga PPS di daerah Kuala Muda adalah seramai 110 mangsa daripada 35 keluarga.

Beliau berkata, jumlah itu membabitkan penduduk di empat mukim yang terjejas akibat banjir kilat yang melanda daerah itu sejak semalam.

“PPS itu menempatkan seramai enam mangsa daripada satu keluarga manakala dua lagi PPS yang dibuka sejak semalam adalah di Dewan UMNO Kampung Bukit Belah adalah seramai 20 mangsa daripada enam keluarga manakala PPS di Dewan SJK (C) Min Terk menempatkan seramai 84 mangsa daripada 28 keluarga.

“Lokasi terjejas antaranya adalah Kampung Batu 5, Mukim Gurun, Taman Bersatu, Taman Widuri, Taman Teratai, Taman Kenari Biru, Taman Songket, Taman Berlian, Kampung Baru Belah, Kampung Batu 2, Kampung Haji Wahab, Taman Ambangan Heights, Taman Sari, Kampung Belakang Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) (C) Min Terk dan Kampung Watt Siam di Mukim Sungai Petani,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Selain itu menurut Azahar, Kampung Baru Bakar Arang di Mukim Sungai Pasir manakala Kampung Jerung di Mukim Sidam Kiri turut dinaiki air.

Katanya, semua mangsa dipindahkan berikutan banjir kilat berlaku akibat hujan lebat bermula jam 5.30 petang Ahad di beberapa kawasan di daerah ini.

Beliau berkata, punca kejadian itu berlaku disebabkan limpahan air secara mengejut dan berlebihan memasuki rumah penduduk.

"Selain itu, turut berlaku kejadian air pasang besar yang mana pintu air ditutup sehingga jam 1.16 pagi tadi untuk mengelakkan kejadian lebih buruk.

"Kejadian itu menyebabkan kerosakan harta benda mangsa dan paras kedalaman air setinggi antara 0.5 meter hingga satu meter," katanya.