ALOR SETAR: Bilangan mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di negeri ini mencatatkan pengurangan hari ini.

Setakat jam 10 pagi, hanya dua PPS masih aktif, menempatkan 141 mangsa daripada 43 keluarga, berbanding 267 mangsa daripada 87 keluarga semalam.

Ketua Bahagian Sekretariat, Jawatankuasa Pengurusan Bencana, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, dua PPS itu ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Suka Menanti, Alor Setar dan SK Binjai di Kubang Pasu.

Di PPS di SK Suka Menanti terdapat seramai 72 mangsa dari 22 keluarga, sementara di SK Binjai, terdapat 69 mangsa daripada 21 keluarga.

Beliau berkata, cuaca pada pagi ini cerah namun penduduk yang tinggal di pesisir sungai masih tidak dibenarkan pulang kerana bimbang dengan trend hujan turun pada sebelah petang.

Foto Astro AWANI

Sementara itu, mangsa yang ditemui berkata, air banjir pada kali ini naik dengan cepat hingga ada yang mencecah paras pinggang, menyebabkan mereka terpaksa meredah air untuk keluar rumah menyelamatkan diri.

Berdasarkan data laman web Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Sungai Anak Bukit di Taman Aman di daerah Kota Setar masih mencatatkan bacaan melebihi tahap bahaya iaitu 2.67 meter berbanding paras waspada (2.60m).

Selain itu, dua sungai di daerah Kota Setar iaitu Sungai Anak Bukit di Jambatan TAR adalah pada tahap 1.70m manakala Sungai Kedah di Jambatan Lebuhraya 2.03m, mencatatkan aras air melepasi tahap amaran.

Foto Astro AWANI