BALING: Banjir kilat yang berlaku di Kampung Iboi pada Rabu menyebabkan tiga jambatan yang menghubungkan penduduk di Kampung Iboi dan Kampung Padang Empang di jajaran Sungai Kupang runtuh.

Ketua Kampung Iboi, Nor Mohamad Che Hussain berkata, kejadian banjir itu turut menyebabkan jambatan Bailey di Lata Chelak Kampung Iboi terpaksa ditutup akibat hakisan.

Menurutnya, jambatan berkenaan terpaksa ditutup pada jam 11 malam selepas arus deras menyebabkan hakisan berlaku di tebing sungai.

"Banjir ini mula berlaku selepas hujan lebat sejak jam 4 petang sebelum air sungai mula melimpah pada waktu Maghrib.

"Saya mula terima panggilan daripada penduduk selepas solat Maghrib mengatakan rumah mereka sudah dinaiki air, ketika itu juga bekalan elektrik terputus," katanya ketika ditemui di sini pada Khamis.

Nor Mohamad berkata, dia segera menghubungi pegawai daerah, polis, bomba dan JPAM (Jabatan Pertahanan Awam Malaysia) untuk meminta bantuan.

"Kira-kira 100 keluarga kemudiannya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Iboi malam tadi," katanya

Beliau berkata, susulan itu jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) serta polis mengambil keputusan menutup Jambatan Bailey demi keselamatan orang ramai.

"Saya harap penduduk dapat mengikut arahan pihak berkuasa dari masa ke masa. Kita bimbang kejadian ini akan berlaku lagi dan menyebabkan penduduk kampung akan lebih trauma selepas kepala air 4 Julai tahun lalu," katanya.

Justeru, Nor Mohamad berharap kerajaan dapat membina semula jambatan yang rosak dengan segera selain mempercepatkan pembinaan Empangan Sabo dan projek tebatan banjir.

"Ini kerana kejadian banjir kali ini turut menyebabkan bekalan air masyarakat di kampung berkenaan terputus dan memerlukan bantuan segera untuk baik pulih berikutan ia menjejaskan kira-kira 500 buah rumah di tiga buah kampung termasuk Kampung Bukit Iboi," katanya.

Beliau berkata, banyak paip air utama masyarakat di kompartmen lapan Gunung Inas rosak dan memerlukan kos lebih RM500,000.

"Sebelum ini kita sudah baiki paip di kawasan gunung itu dengan peruntukan daripada bekas Ahli Parlimen Baling, Datuk Abdul Azeez Rahim kira-kira RM50,000.

"Namun hanya sebahagian paip yang dibaik pulih tapi kali ini lebih banyak paip yang rosak kerana dihanyutkan air dari gunung dan banyak juga paip tersumbat kerana dimasuki pasir dan tanah," ujarnya.

Sebelum ini, kepala air pada 4 Julai tahun lalu menyebabkan 41 kawasan di daerah Baling terjejas, 17 rumah musnah yang turut mengorbankan tiga nyawa, termasuk wanita hamil serta mengakibatkan kerugian berjumlah RM28 juta. - Sinar Harian