PASIR MAS: Beberapa mangsa banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang, di sini menyatakan kebimbangan apabila rumah mereka yang diperbuat daripada kayu, kini reput akibat sering ditenggelami banjir.

Che Ali Che Mud, 60, berkata sejak dua tahun lalu rumah pusaka yang didiaminya sering ditenggelami banjir, menyebabkan dinding dan lantai mulai runtuh.

"Kerana rumah selalu rosak, saya mendapat sumbangan kayu baru untuk gantikan lantai pada Oktober lalu, tetapi belum sempat untuk membinanya, air banjir naik melepasi bumbung Ahad lalu.

"Kita guna kayu biasa yang akhirnya mudah reput setiap kali ditenggelami banjir," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di sini, hari ini.

Che Ali mengakui Kampung Tersang sering dilanda banjir, namun sejak dua tahun lalu apabila sebuah projek tebatan banjir dilaksanakan kira-kira 200 meter dari rumah, situasi banjir semakin buruk malah paras air naik sehingga bumbung rumah.

Che Ali berkata beliau yang tinggal bersama dua anak, Mohd Haziqin, 30, dan Lokman Haqim, 20, setelah isterinya Rahimah Mamat meninggal dunia akibat COVID-19 tahun lepas, terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Gual To' Deh.

"Rumah saya terletak jauh ke dalam kampung dan perlu mengharungi banjir menggunakan bot atau perahu, dengan meredah ladang kelapa sawit serta getah sejauh satu kilometer.

"Banjir melanda Kampung Tersang sejak dua minggu lalu dan air banjir termenung ini biasanya akan surut dalam tempoh jangkaan dua minggu lagi," katanya yang bekerja sebagai buruh.

Seorang lagi penduduk, Joh Che Wil, 80 berkata rumahnya yang diperbuat daripada separa kayu dan batu turut terjejas akibat banjir.

"Bahagian yang diperbuat daripada kayu perlu disalin lantai kerana reput dan beberapa barangan lain seperti perabot turut rosak setelah ditenggelami banjir," katanya.

Katanya pihak berkaitan perlu bertindak segera bagi membolehkan aliran air banjir masuk ke Sungai Lanchang bagi mengelak banjir termenung di kampung tersebut.

-- BERNAMA