HULU LANGAT : Kerajaan disaran mempermudahkan birokrasi permohonan sukarelawan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyalurkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana.

Salah seorang anggota sukarelawan daripada Skuad Bantuan Kecemasan, Malfia Fikri Mohd Kamal memberitahu, mereka terpaksa menunggu lebih 48 jam untuk mendapatkan kebenaran daripada polis dan Jabatan Perpaduan Negara, sebelum mengambil keputusan untuk 'meredah' ke Hulu Langat, antara lokasi banjir yang terjejas teruk di Selangor.

"Sebelum turun ke sini, kami ke balai polis untuk mendapatkan kebenaran sebelum disuruh berhubung dengan Jabatan Perpaduan Negara.

"Polis tak dapat nak membantu kerana ini di bawah kuasa Jabatan Perpaduan Negara, di sini kami ada masalah akses sedikit.

"Bagi NGO-NGO, jangan berputus asa, kita hubungi orang di sini, kalau keadaan terkawal, tiada sekatan dan sekiranya keadaan mengizinkan terus datang sini," katanya kepada Astro AWANI di sini, pada Selasa.

[LAPOR LANGSUNG] Misi bantuan, penugasan pasca bencana

Dalam pada itu Malfia berharap pihak penguasa memberi kelonggaran dalam memudahkan NGO untuk menyalurkan bantuan ketika bencana.

Sementara itu, seorang aktivis masyarakat di Hulu Langat, Zakaria Ismail memberitahu, kumpulan mereka membantu menyelaraskan bantuan kepada penduduk-penduduk setempat.

Menurutnya, penduduk di Hulu Langat tidak lagi memerlukan bantuan pakaian atau makanan memandangkan bekalan itu sudah lebih daripada mencukupi.

"Sebaliknya mangsa-mangsa di sini memerlukan bantuan keperluan rumah seperti tikat, bantal, selimut, sabun dan sebagainya," jelasnya.