POKOK SENA: Sebanyak 27 jenazah etnik Rohingya dari Myanmar yang merupakan mangsa bot karam ditemui di perairan Langkawi pada November tahun lalu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Tualang, di sini pada Khamis.
Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata, proses pengurusan jenazah dilaksanakan bermula jam 10 malam tadi dan berjaya disempurnakan sepenuhnya pada jam 7 pagi tadi.
“Proses pengebumian 13 jenazah lelaki dan 14 perempuan itu dilakukan mengikut prosedur dan tatacara temporary controlled burial (TCB) atas nasihat pihak hospital.
"Kesemua jenazah dikebumikan di tanah perkuburan Islam itu bermula pukul 7.30 pagi tadi dan dilaksanakan dengan penuh tertib serta penghormatan mengikut hukum syarak agama Islam serta di bawah pemantauan Majlis Agama Islam Kedah (MAIK)," katanya kepada Astro AWANI pada Khamis.
Kata beliau, operasi pengurusan dan pengebumian dilaksanakan secara bersepadu melibatkan beberapa agensi iaitu Polis Diraja Malaysia (PDRM), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), MAIK, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kerja Raya serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.
Jelasnya, kesemua jenazah yang merupakan mangsa bot karam itu sebelum ini dibawa ke Unit Perubatan Forensik HSB bagi tujuan pengecaman identiti, bedah siasat serta dokumentasi forensik mengikut prosedur yang ditetapkan.
Mengulas mengenai tempoh masa lama sebelum jenazah dapat dikebumikan, beliau berkata ia berpunca daripada prosedur forensik dan perundangan yang rumit, termasuk ujian DNA dan menunggu jika ada pihak mahu membuat tuntutan.
Sementara itu, kata Adzli, siasatan berhubung punca kejadian, laluan kemasukan serta dalang di sebalik kegiatan penyeludupan migran masih diteruskan di bawah seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 (Atipsom).
"Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," ujarnya.
Tambahnya, kejadian itu merupakan satu tragedi yang amat menyayat hati dan menjadi peringatan tentang risiko serta bahaya dihadapi oleh individu yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan migran melalui laluan yang tidak diwartakan.
"PDRM akan terus memperkukuhkan penguatkuasaan undang-undang dan kawalan keselamatan perairan bagi memastikan keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara," katanya.
Pada 8 November tahun lalu, sebuah bot membawa kira-kira 70 migran etnik Rohingya yang dipercayai menuju ke negara ini karam berhampiran Pulau Tarutao, Thailand, sebelum 44 mangsa termasuk 30 yang maut ditemukan terapung di perairan Langkawi.
Kesemua mereka dikatakan sebahagian daripada kira-kira 300 migran yang menaiki sebuah kapal induk yang berlepas dari Buthidaung, Myanmar sebelum dipindahkan ke bot lebih kecil ketika menghampiri sempadan Thailand-Malaysia.
Kumpulan migran itu mendakwa membayar kira-kira RM13,500 kepada sindiket untuk masuk ke Malaysia.