Sekurang-kurangnya 18 pusat pemindahan banjir sementara dibuka di tiga daerah di Pulau Pinang setakat jam 2 pagi tadi bagi menempatkan hampir 400 mangsa banjir kilat yang melanda negeri itu sejak petang Sabtu.

Pusat pemindahan itu masing-masing lima di daerah Barat Daya , 11 di Seberang Perai tengah manakala dua di Seberang Perai Utara.

Antara kawasan yang terjejas banjir ialah sekitar kawasan Bayan Lepas, Pulau Betong, Teluk Bahang, Seberang Jaya,Ppenanti, dan Tasek Gelugor.


Pusat gerakan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang memaklumkan sehingga jam 2 pagi, usaha mengeluarkan mangsa dari kawasan terjejas banjir diteruskan.

Sementara itu, seramai 21 mangsa banjir dari enam keluarga yang ditempatkan sementara di pusat pemindahan di Taman Siakap Seberang Jaya, berkata, air naik dengan cepat pada jam 7 petang menyebabkan mereka tidak sempat menyelamatkan harta benda.

Menurut penduduk dari Kampung Teluk itu, banjir kali ini boleh dikatakan antara yang terburuk pernah dilalui mereka.

Dalam perkembangan lain beberapa kawasan sekitar negeri itu dilanda banjir kilat setinggi 0.2 meter hingga 0.5 meter dan puluhan pokok tumbang selepas hujan lebat serta angin kuat lebih lima jam bermula 2 petang Sabtu.

Hampir 80 kawasan di negeri itu ditenggelami air berikutan hujan lebat yang berterusan serta paras air sungai yang tinggi bertembung dengan kejadian air pasang menyebabkan limpahan air berlaku dengan cepat.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) dalam satu kenyataan memberi amaran mengenai hujan yang sangat lebat dan berterusan berserta angin kencang sedang berlaku di negeri Pulau Pinang dan Kedah (daerah Yan, Kuala Muda, Kulim dan Bandar Baharu) yang dijangka berterusan hingga Ahad.