TELUK INTAN: Seramai 24 penduduk di tiga kawasan di Langkap, dekat sini, dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Chikus, apabila rumah mereka dilanda banjir kilat, petang ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana (JPB) Daerah Hilir Perak yang juga Pegawai Daerah Hilir Perak, Saidi Saari berkata, PPS itu dibuka mulai jam 3 petang.

"Tiga kawasan yang terjejas ialah Parit 3 serta Kampung Batu Pecah di Chikus dan Kampung Belakang Kedai, Degong," katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, menurut laporan sekretariat JPB Daerah Hilir Perak, kesemua 24 mangsa terdiri daripada sembilan keluarga.

“Mereka terdiri daripada 10 lelaki dewasa, sembilan perempuan dewasa dan lima kanak-kanak lelaki,” ujarnya.

Katanya, seramai 22 petugas daripada pelbagai jabatan dan agensi ditempatkan di PPS berkenaan untuk membantu mangsa.