Skip to main content

Malaysia

Banjir kilat berulang empat kali dalam 30 hari, hampir 550 rumah terjejas - Ramanan

Ramanan (foto) berkata tiga kejadian banjir berlaku sepanjang Oktober, manakala satu lagi melanda kawasan itu pada awal November. -Gambar fail/Bernama
Ramanan (foto) berkata tiga kejadian banjir berlaku sepanjang Oktober, manakala satu lagi melanda kawasan itu pada awal November. -Gambar fail/Bernama
Advertisement

SUBANG JAYA: Hampir 550 rumah terjejas akibat banjir kilat di Kampung Melayu Subang, Shah Alam susulan kejadian yang berulang sebanyak empat kali dalam tempoh kira-kira 30 hari.

Menteri Sumber Manusia merangkap Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri R. Ramanan berkata tiga kejadian banjir berlaku sepanjang Oktober, manakala satu lagi melanda kawasan itu pada awal November.

Menurutnya, jumlah penduduk yang terjejas dianggarkan hampir 1,500 orang berdasarkan purata tiga penghuni bagi setiap rumah.

Advertisement

“Dalam masa 30 hari ini, ini adalah kali keempat yang ini berlaku. Tiga kali bulan lepas, ini adalah kali pertama. Tak sampai dua hari dalam bulan November, sudah satu kali.”

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau kawasan banjir di Kampung Melayu Subang pada Selasa.

Advertisement

Ramanan berkata pasukan tindak balas pantas dari Sungai Buloh telah digerakkan bagi membantu kerja pembersihan rumah serta menyediakan makanan kepada penduduk terjejas.

Katanya, bantuan turut merangkumi barangan keperluan asas seperti makanan, peralatan memasak, seterika dan tilam bagi membantu penduduk yang kehilangan atau mengalami kerosakan harta benda.

Beliau menjelaskan bantuan akan diberikan dalam bentuk barangan dan bukannya wang tunai bagi memastikan keperluan sebenar mangsa dapat dipenuhi.

“Tak ada, barangan. Wang ringgit, wang ringgit itu tak boleh. Sebab kalau wang ringgit tu nanti ada yang dapat kurang, ada yang dapat lebih, ada yang tak guna pakai untuk rumah. Jadi, kita bagi barang keperluan rumah sahaja.”

Dalam pada itu, Ramanan berkata satu penyelesaian sementara menerusi pembinaan kolam tadahan akan dilaksanakan bagi mengurangkan risiko banjir kilat sementara menunggu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) disiapkan.

Menurutnya, langkah sementara itu diarahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengurangkan kesan banjir yang terus berulang di kawasan berkenaan.

“Yang Amat Berhormat Perdana Menteri telah mengarahkan bahawa satu temporary solution (penyelesaian sementara) diadakan.

"Jadi, kita akan buat satu contohnya retention pond (kolam tadahan), di mana kita boleh tahan air itu untuk bukan memberhentikan, tetapi sekurang-kurangnya mengurangkan banjir yang sedang berlaku,” kata Ramanan.

Beliau berkata projek RTB Fasa 1 dan Fasa 2 bagi kawasan Sungai Buloh serta Sungai Damansara telah diluluskan dan sedang dilaksanakan secara berperingkat.

Katanya, tahap kemajuan projek berbeza mengikut kawasan, dengan sesetengah bahagian mencapai sekitar 30 hingga 40 peratus manakala kawasan lain sekitar 50 hingga 60 peratus.

Ramanan berkata kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri penting bagi memastikan pelaksanaan projek berkenaan dapat dipercepat.

Beliau mengakui masalah banjir di kawasan itu bukan isu baharu dan memerlukan penyelesaian jangka panjang selain langkah sementara bagi mengurangkan kesan kepada penduduk sementara projek tebatan banjir disiapkan.

Must Watch Video

Advertisement