KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak menolak kemungkinan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan kegiatan mafia korporat sekiranya terdapat asas kukuh dan keperluan untuk siasatan lebih menyeluruh.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata cadangan itu perlu dinilai berdasarkan keperluan untuk memperluas siasatan, termasuk mengenal pasti skop perkara yang perlu diteliti.
“Kerajaan akan terus memastikan bahawa sebarang dakwaan yang mempunyai asas diteliti secara telus dan tindakan sewajarnya diambil berdasarkan undang-undang tanpa mengira kedudukan atau latar belakang mana-mana pihak,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan menerusi laman rasmi Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) berhubung perkembangan siasatan dakwaan mafia korporat, termasuk sama ada individu yang didakwa menjadi dalang utama akan dihadapkan ke mahkamah serta kesediaan kerajaan menubuhkan RCI bagi menangani isu berkenaan.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) melancarkan Op Viking susulan maklumat risikan berkaitan aktiviti pengubahan wang haram.
Katanya, dakwaan berkenaan turut membabitkan penyalahgunaan kuasa oleh agensi penguat kuasa yang didakwa memberi tekanan kepada ahli perniagaan supaya menjual saham syarikat pada harga rendah bagi membolehkan pihak tertentu menguasai syarikat terbabit.
Beliau berkata satu kertas siasatan dibuka pada 14 Oktober 2025 mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001.
Susulan itu, PDRM mengambil tindakan menahan beberapa individu selain membekukan dan menyita aset yang dipercayai mempunyai kaitan dengan aktiviti yang sedang disiasat.
Menurutnya, Op Viking dilaksanakan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) di bawah Urus Setia Pejabat Ketua Polis Negara, Bukit Aman.
Setakat 25 September lalu, seramai 70 individu telah dipanggil untuk dirakam keterangan bagi membantu siasatan.
Tindakan pembekuan dan penyitaan aset itu membabitkan lapan hartanah, 11 kenderaan serta 417 akaun Central Depository System (CDS).
Ia turut melibatkan 70 akaun dagangan saham bernilai kira-kira RM323.59 juta dan 404 akaun bank berjumlah kira-kira RM85.62 juta, katanya.