MELAKA: Tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Melaka selepas sekurang-kurangnya 36 kampung dan taman perumahan dilanda banjir kilat akibat hujan lebat lebih empat jam sejak tengah hari tadi.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Lt. Kol (PA) Cuthbert John Martin Quadra berkata, tiga PPS itu masing-masing dibuka di daerah Alor Gajah, Melaka Tengah dan Jasin.

“Di Alor gajah, PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal; daerah Jasin di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bemban dan di Melaka Tengah di SMK Tun Mutahir.

“Jumlah keseluruhan mangsa banjir belum dimuktamadkan buat masa ini. Bagaimanapun, sehingga kini sebanyak 36 kampung dan taman perumahan terjejas," katanya.

BACA: Hujan lebat, beberapa kawasan di Melaka dilanda banjir kilat

BACA: Banjir kilat Melaka: Seorang anggota bomba pengsan dihanyut arus deras

Mengulas lanjut katanya, kawasan yang paling teruk terjejas ialah daerah Melaka Tengah yang melibatkan 20 kawasan.

“Alor gajah jumlah kawasan yang terjejas melibatkan sembilan kampung dan Jasin membabitkan tujuh kawasan kediaman,” tambahnya.

Terdahulu, hujan lebat berterusan sejak tengah hari tadi menyebabkan beberapa kawasan di negeri ini dinaiki air sehingga menyebabkan beberapa jalan utama terpaksa ditutup.


Banjir | Seorang anggota bomba dihanyutkan arus deras