KEMAMAN: Misteri kehilangan lelaki warga emas terungkai apabila mayatnya ditemukan dalam alur limpahan banjir berhampiran Balai Polis Pasir Gajah, di sini pada pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, mayat Rahim Deraman, 69, ditemukan orang awam kira-kira dua kilometer dari rumahnya jam 10 pagi Selasa selepas banjir surut.

Menurut Hanyan, laporan polis dibuat keluarga mangsa apabila menyedari kehilangannya sejak petang semalam.

Usaha pencarian yang dijalankan serta merta gagal mengesan mangsa berikutan kawasan balai dan kampung terbabit ditenggelami banjir.

Jelasnya, mangsa yang kemurungan selepas kematian isterinya dipercayai berlegar-legar di kawasan berkenaan sebelum terjatuh di kawasan banjir.

Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.

Menurut Hanyan lagi, mangsa adalah korban ketiga akibat banjir pada musim tengkujuh di negeri ini selepas seorang pelajar Tingkatan Dua Sekolah Menengah Kebangsaan Cheneh, Muhammad Alimi Hashim menjadi korban kedua ketika bermain air di belakang rumahnya.

Seorang lelaki berusia 40 tahun menjadi korban pertama banjir ketika memukat ikan berhampiran Ladang Rakyat, Mak Lagam pada 1 Januari lalu.