Skip to main content

Malaysia

Banjir Nepal: 'Andai sudah tiada, bawa pulang jasad mereka' - Keluarga rakyat Malaysia

KUALA LUMPUR, 29 Ogos - Wakil keluarga mangsa, Dr. Manivannan Mirigaya (tengah) bercakap pada sidang media berhubung rakyat Malaysia yang masih hilang susulan kejadian banjir besar di sempadan Nepal-Tibet, di Plaza Makmur, Jalan Batu Caves, hari ini. - fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
R Manivannan berkata, namun selagi belum ada pengesahan rasmi mengenai nasib mangsa, mereka tidak mahu berputus asa. - Gambar fail/ BERNAMA
Advertisement

KUALA LUMPUR: “Jika masih hidup, carilah mereka dan bawa pulang. Jika sudah tiada, cari, kenal pasti jasad mereka dan bawa pulang ke tanah air.”

Itulah luahan harapan terakhir keluarga mangsa yang masih hilang dalam kejadian banjir besar di Nepal selepas 14 hari tanpa sebarang khabar, dengan segala harapan kini disandarkan kepada Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) untuk merungkai nasib insan tersayang.

Wakil keluarga, Dr R Manivannan berkata, selagi belum ada pengesahan rasmi mengenai nasib mangsa, mereka tidak mahu berputus asa. 

"Selepas 14 hari, kami berpandangan kebarangkalian untuk menemukan rakyat Malaysia yang masih hidup semakin rendah, melainkan terdapat mangsa yang ditemui terkandas atau berlindung di lokasi tertentu yang masih belum dikenal pasti," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Selasa. 

Manivannan berkata, mereka bagaimanapun tetap berharap usaha pencarian diteruskan selagi tiada pengesahan rasmi mengenai nasib mangsa. 

Pada masa sama, beliau berpandangan operasi perlu dilaksanakan menerusi dua landasan serentak, iaitu mencari mangsa yang masih hidup dan mengenal pasti mereka yang dipercayai sudah terkorban.

"Selepas 14 hari, kebarangkalian untuk menemukan jasad dalam keadaan yang masih mudah dikenal pasti secara fizikal juga semakin rendah.

"Justeru, pasukan forensik dan Disaster Victim Identification (DVI) perlu digerakkan segera, termasuk mempercepatkan proses pengambilan dan pemadanan DNA,” katanya.

Menurutnya, kepakaran khusus dalam bidang pengenalpastian mangsa juga wajar digerakkan bagi membantu mempercepatkan proses berkenaan.

Katanya, negara seperti Singapura dan Jepun turut menggerakkan kepakaran khusus bagi membantu proses pengenalpastian mangsa dalam insiden seumpama itu.

Must Watch Video

Advertisement