KUALA LUMPUR: Empat sekeluarga antara 17 rakyat Malaysia yang menyertai Kailash Yatra di kawasan berhampiran sempadan Nepal-Tibet masih belum dapat dikesan selepas terputus hubungan susulan banjir besar.
Mereka ialah Raman Supramaniam, 59; Neelavany Marimuthu, 54; Murukan Supramaniam, 60; dan Padmahwathi A Govindasamy, 58.
Perkara itu dimaklumkan anak lelaki Raman, R Mithiren yang berkata keempat-empat mereka menyertai kumpulan pelancong yang diuruskan agensi pelancongan berpangkalan di Nepal, Fishtail Tours & Travels, bagi perjalanan keagamaan ke Gunung Kailash.
Katanya, kumpulan berkenaan tiba di Nepal pada 23 Ogos lalu dan dijadual meneruskan perjalanan sehingga 5 September ini.
"Kali terakhir kami berhubung dengan keluarga adalah menerusi WhatsApp adalah kira-kira jam 8.40 pagi waktu Malaysia, Rabu.
"Selepas itu, kami tidak menerima sebarang perkembangan daripada mereka dan amat bimbang dengan keselamatan mereka," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Khamis.
Sementara itu, menurut Mithiren, hubungan terakhir pihak pengurusan Fishtail Tours & Travels dengan kumpulan berkenaan direkodkan kira-kira jam 8.18 pagi waktu Nepal (10.33 pagi waktu Malaysia), ketika mereka dilaporkan berada kira-kira 15 hingga 20 minit dari sempadan Nepal-Tibet.
Beliau berkata, ketika itu kumpulan berkenaan dalam perjalanan untuk makan tengah hari.
Menurut Mithiren, ini bukan kali pertama mereka mengunjungi Gunung Kailash, sebaliknya pernah berkunjung ke lokasi itu sekali sebelum ini.
Katanya, mereka juga sangat teruja untuk berkongsi itinerari perjalanan kepada keluarga sebelum berlepas.
“Ini bukan kali pertama mereka ke sana dan mereka sangat teruja untuk berkongsi perjalanan serta itinerari dengan kami sebelum berlepas.
“Kami berharap mereka semua berada dalam keadaan selamat dan dapat dihubungi secepat mungkin,” katanya.