Skip to main content

Malaysia

Banjir Nepal: Keluarga mangsa rayu kerajaan kerah pasukan SAR Malaysia, perkukuh komunikasi

Keluarga Mangsa Nepal
MASPI merayu kerajaan Malaysia segera menggerakkan pasukan SAR bagi membantu mencari 49 rakyat Malaysia yang masih hilang dalam tragedi banjir kilat di sempadan Nepal-Tibet. -Foto Astro AWANI
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kumpulan sokongan keluarga mangsa banjir kilat di sempadan Nepal-Tibet, Malaysian Support for Families in Hope (MASPI), merayu kerajaan Malaysia supaya segera mengerahkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) negara bagi membantu mengesan 49 rakyat Malaysia yang masih hilang.

Dalam sidang media pada Sabtu, wakil MASPI, Manivannan Rethinam, berkata lebih 72 jam telah berlalu sejak bencana banjir kilat melanda kawasan Rasuwagadhi di sempadan Nepal-Tibet, namun nasib dan lokasi mangsa masih belum dapat dipastikan.

"Setiap jam amat berharga. Bagi ahli keluarga, ini bukan sekadar situasi orang hilang. Mereka ialah ibu bapa, adik-beradik, pasangan dan anak-anak kami.

"Setiap saat tanpa maklumat yang sahih hanya menambah penderitaan dan kebimbangan kami," katanya.

MASPI turut menggariskan lima tuntutan utama kepada kerajaan Malaysia, khususnya Wisma Putra serta Kedutaan Malaysia di Kathmandu dan Beijing.

“Kami memohon mekanisme laporan harian daripada Wisma Putra mengenai status operasi SAR, kawasan yang telah digeledah serta perkembangan daripada pihak berkuasa Nepal dan China bagi mengelakkan maklumat salah.

"Kami juga meminta pegawai perhubungan khas dilantik di Kathmandu dan Beijing bagi berkomunikasi secara terus dengan wakil MASPI supaya maklumat dapat disampaikan secara konsisten kepada semua keluarga yang terjejas," katanya.

Beliau berkata pihaknya turut merayu kerajaan menggunakan saluran diplomatik bagi mendapatkan kebenaran segera untuk menghantar pasukan SAR Malaysia ke lokasi kejadian bagi membantu operasi pencarian dalam kawasan yang mempunyai rupa bumi mencabar.

MASPI turut menyuarakan kebimbangan berhubung kekurangan maklumat daripada pihak China.

“Terdapat kemungkinan mangsa terperangkap di kawasan kastam imigresen China atau telah melepasi sempadan menuju ke Gyirong atau Kerung di pihak Tibet semasa banjir berlaku,” katanya.

Sementara itu, MASPI mendakwa terdapat percanggahan dalam rekod rasmi apabila sembilan mangsa daripada kumpulan Dream Tibet Travels and Tours tidak tersenarai dalam rekod Lembaga Pelancongan Nepal.

"Syarikat yang menguruskan permit didakwa tidak melaporkan kehilangan kumpulan itu kepada pihak berkuasa Nepal," katanya.

Menurut MASPI, mangsa yang hilang terdiri daripada tiga kumpulan utama iaitu Leaf Holiday melibatkan 23 rakyat Malaysia dan tiga warga Singapura, Dream Tibet Travels and Tours (sembilan rakyat Malaysia) serta Fishtail Tours and Travels (17 rakyat Malaysia).

"Kami tidak mencari konfrontasi, kami mencari jawapan dan tindakan. Kami merayu agar kerajaan Malaysia tidak meninggalkan sebarang ruang tanpa diteroka demi membawa pulang orang tersayang kami dengan selamat," katanya lagi.

MASPI turut menyatakan kesediaan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan Wisma Putra dan agensi berkaitan bagi memudahkan perkongsian serta pengesahan maklumat mangsa di lapangan.

Must Watch Video

Advertisement