Skip to main content

Malaysia

Banjir Nepal: Keluarga masih menanti perkembangan Dr Mohd Padzil

SHAH ALAM – Sekumpulan sembilan rakyat Malaysia yang dalam perjalanan menyertai misi pendakian di Tibet, China gagal dihubungi ketika berada kira-kira 18 kilometer dari sempadan Rasuwagadhi-Kerung, Nepal sejurus negara itu dilanda banjir buruk._Sinar Harian
Dr Mohd Padzil Daros (berbaju merah) merupakan antara sembilan rakyat Malaysia yang dilaporkan gagal dihubungi berhampiran sempadan Nepal-Tibet. - Foto Sinar Harian
Advertisement

KUALA LUMPUR: Beberapa keping gambar laluan dan pemandangan menjadi perkongsian terbaharu Dr Mohd Padzil Daros kepada keluarganya sebelum komunikasi terputus susulan banjir buruk di Nepal semalam.

Anaknya, Muhammad Ashraf berkata, perkongsian itu diterima menerusi kumpulan WhatsApp keluarga pada jam 9.45 pagi waktu Malaysia.

Menurutnya, berdasarkan maklumat yang diketahui keluarga, kumpulan tersebut bertolak dari Kathmandu kira-kira jam 3.30 pagi untuk meneruskan perjalanan mereka.

“Setakat yang saya tahu, mereka bergerak dari Kathmandu pada jam 3.30 pagi. Mengenai keseluruhan perjalanan itu, saya tidak mempunyai maklumat terperinci.

“Jika ditanya bila kali terakhir kami berhubung, ia adalah pada jam 9.45 pagi menerusi kumpulan WhatsApp keluarga,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI hari ini.

Muhammad Ashraf berkata, perkongsian bapanya dalam kumpulan itu kebanyakannya berupa gambar sepanjang perjalanan.

“Dalam kumpulan itu, hanya ada gambar perjalanan, laluan dan pemandangan. Tidak banyak perbualan, hanya gambar,” katanya.

Beliau menjelaskan, segala maklumat yang dikongsikannya adalah berdasarkan apa yang diketahui oleh keluarga sahaja kerana mereka tidak mempunyai butiran lengkap mengenai perjalanan berkenaan.

Dr Mohd Padzil, 63, merupakan seorang daripada sembilan rakyat Malaysia yang dilaporkan gagal dihubungi ketika kumpulan itu berada kira-kira 18 kilometer dari sempadan Rasuwagadhi-Kerung.

Mereka dilaporkan dalam perjalanan menuju ke Tibet, China ketika banjir buruk melanda Nepal pada Rabu.

Muhammad Ashraf berkata, keluarganya memahami kesukaran untuk mendapatkan perkembangan berikutan jalan dan rangkaian komunikasi yang terputus di kawasan terjejas.

Dalam penantian itu, keluarga kekal tenang dan menaruh harapan agar Dr Mohd Padzil bersama semua anggota kumpulan berada dalam keadaan selamat.

“Kami sekeluarga kini hanya mampu terus berharap dan menantikan khabar mengenai perkembangan mereka,” katanya lagi.

Setakat perkembangan terkini, Wisma Putra mengesahkan seramai 55 rakyat Malaysia di Nepal masih gagal dihubungi susulan bencana berkenaan.

Must Watch Video

Advertisement