TEMERLOH: Tidur dalam kereta antara pengalaman dan kebiasaan buat seorang ibu tunggal di Kampung Teluk Ira di sini setiap kali banjir melanda kampung tersebut.

Saniah Salleh, 54 mendakwa, situasi itu dihadapi apabila kediaman mereka dinaiki air pada waktu malam.

"Bila waktu malam, sibuk kemas dan punggah barang, dah penat nak pergi ke mana-mana sementara menunggu siang, jadi saya dan dua anak tidur dulu dalam kereta.

"Hanya pada siang barulah kami berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS)," katanya rumahnya terletak berhampiran tepi sungai.

Wanita itu antara 28 mangsa banjir yang ditempatkan di PPS, Sekolah Kebangsaan (SK) Teluk Ira sejak Khamis ditemui Sinar Harian pada Jumaat.

Bagi Mahadi Ismail,50 pula memberitahu, dia dan keluarganya yang terawal berpindah di PPS tersebut pada jam 7 pagi pada Khamis.

"Air naik kira-kira 0.6 meter pada awal pagi semalam (Khamis) dan kami sekeluarga memang sudah lali dengan situasi banjir tapi yang paling teruk pada 2014 lalu.

"Setakat ini, air sudah surut dan tidak sabar pulang untuk membersihkan rumah," jelasnya.

Dalam pada itu, bagi Dasima Aini, 50 mengakui dengan situasi strok yang dihadapi sejak beberapa tahun lalu menyebabkan kesukaran untuknya setiap kali berpindah ke PPS.

Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail meluangkan masa di PPS tersebut selain menyerahkan sumbangan terhadap mangsa banjir.

Sebelum ke SK Teluk Ira, beliau turut melawat PPS di SK Tebing Tinggi di Jerantut yang menempatkan 24 mangsa. -Sinar Harian