KEMAMAN: Meskipun keadaan banjir di Terengganu telah reda ketika ini namun kebimbangan tetap membelanggu penduduk khususnya yang tinggal di kawasan yang rendah apatah lagi 'edah' musim tengkujuh belum tamat.

Apabila bulan Disember bertandang Adnan Kamaruddin, 41, yang tinggal di Kampung Tanjung Bukit Mentok, Kemaman, pasti resah apatah lagi mengenangkan kediaman terletak berhampiran sungai.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, apabila hujan lebat turun melebihi dua hari  berturut-turut, disusuli pertembungan air pasang besar, pasti lenanya juga akan terganggu kerana bimbang kediamannya dinaiki air.

"Memang selalu berjaga-jaga kerana kawasan kampung ini memang selalu dinaiki air tiap-tiap tahun.

"Kalau hujan lebat dalam dua atau tiga hari, memang kena kemas rumah terus. Kemas-kemas mana yang patut dan kita kena berjaga-jaga," katanya.

Jelasnya lagi, setiap tahun berdepan dengan bencana alam itu membuatnya lebih bersedia dan seawal bulan November persiapan rapi termasuk bot telah disediakan.

Adnan berkata kesemua yang dilakukan itu bagi menggelakkan kerugian dan memudahkan dia bersama isteri serta anak yang berusia antara 10 bulang sehingga lapan tahun dapat berpindah sekiranya paras air meningkat tidak mengira masa.

Menurutnya pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Bukit Mentok juga menjadi lokasi wajib didiami setiap kali bencana alam itu melanda.

Terdahulu banjir gelombang kedua yang melanda Terengganu sejak Jumaat lalu telah pulih pada Selasa.