IPOH: Jumlah mangsa banjir di Perak menunjukkan peningkatan dengan 324 orang daripada 99 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS).

PPS tersebut merangkumi tiga daerah iaitu Hilir Perak, Kerian dan Hulu Perak.

Menurut Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah, satu lagi PPS baru dibuka malam tadi di Sekolah Kebangsaan Kerunai, Hulu Perak.

"Satu PPS iaitu di Sekolah Kebangsaan Kerunai telah dibuka pada jam 10.15 malam tadi, ia menempatkan 76 mangsa daripada 20 keluarga.

"Kawasan yang terjejas di daerah Hulu Perak termasuk Kampung Pahat Dalam, Kampung Pahat Luar, Kampung Tanjung Kekabu, Kampung Star Kecil, Kampung Kerunai, Kampung Kota, Kampung Dusun, Kampung Padang Stang dan Kampung Padang Langgar," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Sebelum ini, media melaporkan bilangan mangsa banjir di negeri ini membabitkan dua daerah iaitu di Hilir Perak dan Kerian.

Setakat jam 8 malam tadi, seramai 268 mangsa daripada 84 keluarga ditempatkan di dua PPS di Dewan Serbaguna Padang Tembak, Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI) dan Sekolah Kebangsaan Changkat Lobak.