IPOH: Jumlah mangsa banjir di Perak mencatatkan peningkatan dengan 340 orang daripada 99 keluarga ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) setakat pagi ini.

Jurucakap Jawatankuasa Pengurusan Bencana Banjir Daerah berkata, penambahan itu berlaku di daerah Hilir Perak apabila seramai 21 mangsa daripada enam keluarga berlindung di PPS Dewan Majlis Perbandaran Teluk Intan (MPTI), Langkap.

"Jumlah keluarga dan mangsa di PPS Dewan Serbaguna Padang Tembak kekal, begitu juga di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Changkat Lobak dan SK Alor Pongsu.

"Bagaimanapun, berlaku penambahan jumlah keluarga dan mangsa di PPS Dewan MPTI Langkap," katanya dalam kenyataan hari ini.

Setakat jam 8 pagi ini, seramai 165 daripada 50 keluarga berada di Dewan Serbaguna Padang Tembak.

Sementara itu, 97 mangsa daripada 24 keluarga pula berada di SK Changkat Lobak dan 57 mangsa daripada 19 keluarga di SK Alor Pongsu.