Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan penduduk Kuantan yang terjejas akibat banjir agar sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga jika terjadi banjir fasa kedua seperti yang diramalkan.

"Air naik dengan sangat pantas. Walaupun kita memang membuat persedian banjir setiap tahun, tetapi kali ini memang tidak disangka. Setakat ini saya lihat hanya sedikit sahaja air yang surut," kata Najib kepada pemberita.

Beliau pada awalnya yang membuat tinjauan sekitar Pekan dan Rompin melahirkan rasa puas hati dengan layanan yang diberikan kepada mangsa banjir.

"Saya sudah ke Bandar Pekan, Sungai Miang dan Kuala Rompin tadi dan rata-rata saya berpuas hati dengan bantuan yang diberikan kepada mangsa.

"Walapun masa agak suntuk dan saya tidak sempat meninjau Kuantan, saya difahamkan bahawa Tuanku Sultan Pahang serta Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob banyak membuat lawatan untuk membantu mangsa," kata beliau.

Tambahnya, proses penghantaran bantuan makanan dan keperluan asas kepada mangsa sebelum ini mengalami kesulitan disebabkan kebanyakan jalan raya ditutup.

"Bila air naik, semua penduduk letak kereta mereka di tepi-tepi jalan. Ini yang menyebabkan kenderaan untuk menghantar bantuan mengalami kesukaran," kata Najib.

Beliau berkata demikian pada sidang media yang diadakan di Pangakalan Udara Kuantan hari ini.