KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di seluruh Sabah menurun sedikit pada 4 petang Khamis kepada 3,329 berbanding 3,398 orang setakat pukul 12 tengah hari.

Menurut kemas kini Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam Sabah, ia melibatkan 1,231 ketua isi rumah yang ditempatkan di 26 PPS.

Hal ini menyaksikan satu PPS iaitu Masjid Nur Iman Sungai Memanjang, Sandakan ditutup pada pukul 3 petang ini.

Jelas kenyataan itu, enam daerah terjejas iaitu Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Telupid dan daerah kecil Paitan.

"Daerah Kota Marudu menunjukkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,765 orang diikuti Pitas (216 orang); Sandakan (46 orang); Paitan (102 orang); Telupid (159 orang) dan Beluran 41 orang.

"Manakala pecahan mengikut mangsa pula 1,138 mangsa adalah wanita dewasa; 922 lelaki dewasa; 678 kanak-kanak lelaki serta 519 melibatkan kanak-kanak perempuan," katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, pada pukul 12 tengah hari Isnin, 3,398 mangsa daripada 1,236 keluarga dipindahkan ke 27 PPS di seluruh negeri Sabah.