KOTA KINABALU: Jumlah mangsa banjir di Sabah menurun sedikit kepada 3,347 orang setakat jam 1 petang ini, berbanding 3,385 orang dilaporkan pagi tadi.

Menurut kemas kini yang dikeluarkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, jumlah itu melibatkan 1,319 ketua isi rumah (KIR) keseluruhannya.

Jumlah berkenaaan dilaporkan daripada enam daerah di negeri ini, iaitu Kota Marudu, daerah kecil Paitan, Pitas, Beluran, Sandakan dan Telupid.

Kota Marudu merupakan daerah yang mencatat jumlah mangsa tertinggi dengan 2,668 orang, diikuti Pitas (319 mangsa), Telupid (216 mangsa), daerah kecil Paitan (99 mangsa) serta Sandakan (45 mangsa).

Kesemua mangsa yang terjejas ditempatkan di 29 pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di daerah-daerah berkenaan.

Sementara itu, sebanyak 14 PPS diaktifkan di Kota Marudu, tujuh PPS di Telupid, empat PPS di Pitas, tiga PPS di daerah kecil Paitan dan satu PPS di Sandakan.

Menurut laporan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Sabah pecahan mangsa yang terlibat adalah 909 lelaki dewasa, 1,045 perempuan dewasa, 731 kanak-kanak lelaki serta 662 kanak-kanak perempuan.