KUCHING:Jumlah mangsa banjir di Sarawak menunjukkan peningkatan sedikit kepada 1,002 pada Ahad berbanding 934 mangsa pada petang semalam.

Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak, 1,002 mangsa itu melibatkan 329 keluarga yang ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS).

Kemas kini setakat pukul 8 pagi ini menunjukkan Bahagian Serian merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 767 daripada 249 keluarga.

"Sebanyak sembilan PPS dibuka di Bahagian Serian yang mana PPS SK Tanah Puteh menempatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 349 daripada 114 keluarga.

"Ia diikuti Dewan Masyarakat Serian iaitu 148 mangsa daripada 52 keluarga," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Keadaan banjir dan paras air di Kampung Tanah Puteh, Serian.

Selain itu, tujuh lagi PPS di Bahagian Serian terdiri daripada Dewan Sk Tebakang (31 mangsa, tujuh keluarga); Dewan Kampung Slabi Entukuh (42 mangsa, sembilan keluarga); Dewan Buk Janjun (29 mangsa, 11 keluarga); Dewan Kampung Rimba Padi (75 mangsa, 25 keluarga); Sk St Patricks Tangga (54 mangsa, 18 keluarga); Balai Raya Babuk Bandar Ranchan (enam mangsa, lima keluarga) dan Dewan Serbaguna Ranchan dengan 33 mangsa daripada lapan keluarga.

Dalam pada itu di Bahagian Samarahan yang melibatkan daerah Samarahan dan Simunjan pula setakat 8 pagi ini merekodkan 235 mangsa daripada 80 keluarga.

"Empat PPS dibuka di Simunjan iaitu melibatkan Dewan Masyarakat Lubok Buntin; Dewan Mesra Simunjan; Dewan Kampung Entanggor, Sebuyau dan Masjid Kampung Seruyuk, Sebuyau.

"Bagi Samarahan pula satu PPS dibuka iaitu Dewan Serbaguna Kampung Bangka Semong melibatkan 15 mangsa daripada lima keluarga," katanya.