ALOR SETAR: Sebuah lagi pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Baling hari ini menjadikan jumlah PPS aktif di daerah itu ketika ini ialah tiga yang menempatkan 79 mangsa daripada 21 keluarga.

Jurucakap Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Kedah berkata PPS itu ialah Dewan Orang Ramai Bonggol Derom yang dibuka pada 9 pagi tadi bagi menempatkan 38 mangsa daripada sembilan keluarga.

"Dua lagi PPS yang dibuka sebelum ini iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Titi Gantung masih menempatkan 29 mangsa daripada 10 keluarga manakala PPS SK Bandar menempatkan 12 mangsa daripada dua keluarga.

"Di PPS SK Titi Gantung, terdapat satu keluarga terdiri daripada tiga mangsa yang disyaki menjadi kontak rapat kepada kes positif COVID-19. Buat masa ini, mereka diasingkan," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sebanyak 282 rumah terjejas banjir di daerah Baling yang melibatkan 16 kampung di tiga mukim iaitu Siong, Baling/Bongor dan Pulai.

Katanya keadaan cuaca di daerah itu ketika ini mendung dan paras air di sesetengah kawasan yang terjejas mulai surut.

Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di PPS Dewan Rakan Sukan, Tanah Merah dekat Pendang pula kekal 140 orang daripada 36 keluarga.

-- BERNAMA