SHAH ALAM: Seramai 789 mangsa melibatkan 199 keluarga ditempatkan di 10 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat Rabu susulan banjir yang negeri ini.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Selangor, Ghazali Abd Rahman berkata, jumlah itu mencatatkan peningkatan berbanding 679 mangsa sebelum ini di enam daerah terlibat.

"Daerah yang paling terjejas ialah Sepang dengan 475 mangsa banjir daripada 126 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Dengkil, Dewan Orang Ramai Kampung Dato Ahmad Razali, Dewan MPKK Kampung Jenderam Hilir serta Dewan Orang Ramai Taman Gemilang.

"Satu PPS dibuka di daerah Hulu Langat iaitu di Sekolah Kebangsaan Bangi yang menempatkan 83 mangsa banjir daripada 19 keluarga," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, empat PPS beroperasi bagi daerah Kuala Langat dan Hulu Langat.

"Daerah Kuala Langat mencatatkan dua PPS yang menempatkan seramai 72 mangsa di PPS Dewan Orang Ramai Kampung Bukit Changgang dan PPS Dewan Orang Ramai Dato Hormat, Seri Cheding.

"Bagi daerah Hulu Langat pula, dua PPS iaitu PPS Sekolah Kebangsaan Bangi menempatkan seramai 87 mangsa manakala PPS Sekolah Kebangsaan Ulu Semenyih menempatkan 32 mangsa," katanya.

Tambahnya, dua daerah lagi melibatkan Petaling dan Hulu Selangor masing-masing melibatkan satu PPS yang dibuka setakat ini.

"PPS Dewan Camelia Putra Height bagi daerah Petaling dibuka setakat ini melibatkan seramai 110 mangsa terdiri daripada 24 keluarga.

"Bagi daerah Hulu Selangor, seramai 13 mangsa melibatkan dua keluarga ditempatkan di PPS Dewan Komuniti Taman Desa Hulu Yam Bharu," katanya. - Sinar Harian