KUALA LUMPUR: Semua kementerian berkaitan telah diarahkan untuk menggerakkan semua aset di kawasan yang terjejas dengan banjir, kata Datuk Seri Ismail Sabri.

Dalam catatan terbaharu di Facebook malam ini, Perdana Menteri berkata, tindakan itu bagi memastikan rakyat diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara dengan segera.

Menurut Ismail Sabri, tindakan itu diambil selepas beliau mendengar taklimat daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) mengenai keadaan banjir yang melanda beberapa negeri ekoran hujan lebat secara berterusan, pada Jumaat.

“Saya juga sudah bercakap dengan Panglima Angkatan Tentera dan Ketua Polis Negara untuk menggunakan aset tentera, polis, Angkatan Pertahanan Awam, bomba dan agensi-agensi sokongan lain untuk memindahkan mangsa banjir dan memastikan bekalan makanan serta keperluan selain khidmat kesihatan disediakan segera di pusat pemindahan sementara.

“NADMA juga diminta untuk turut bekerjasama dengan wakil rakyat di setiap kawasan kerana mereka juga mempunyai maklumat mangsa banjir dan pengumpulan maklumat ini dapat menyegerakan semua pelaksanaan pemindahan dan bantuan,” katanya lagi.

Berdasarkan portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat, jumlah keseluruhan mangsa banjir setakat 9 malam Sabtu di enam negeri adalah adalah seramai 10,557

Selangor terus menjadi negeri tertinggi iaitu seramati 3,508 orang, diikuti Pahang (3,193), Kelantan (2,898), Melaka (424), Negeri Sembilan (286) dan Terengganu (248).

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, beliau telah mengarahkan NADMA untuk menyediakan talian kecemasan bagi komunikasi mangsa banjir yang masih terperangkap selain mendapatkan maklumat di laman media sosial rasmi NADMA dan agensi-agensi terlibat.

“Saya minta Keluarga Malaysia yang berada di kawasan yang terjejas dengan banjir agar mematuhi arahan berpindah oleh pihak berkuasa. Jaga keselamatan diri dan keluarga.

“Saya akan terus memantau situasi bencana ini dari semasa ke semasa dan akan maklumkan kepada Keluarga Malaysia, langkah-langkah dan tindakan yang dilaksanakan,” kata Ismail Sabri lagi.