KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengadakan sidang akhbar berhubung bencana banjir yang melanda beberapa negeri.

Menurut perkongsian oleh Pejabat Perdana Menteri, sidang media itu akan dilakukan di Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pada pukul 11 malam ini.

Difahamkan, sidang media itu diadakan ekoran situasi banjir yang semakin meruncing di beberapa negeri, dengan jumlah terkini mangsa banjir setakat 9 malam tadi telah mencecah 10,577 orang.

Terdahulu, Perdana Menteri berkata, semua kementerian berkaitan telah diarahkan untuk menggerakkan semua aset di kawasan terjejas dengan banjir.

Dalam catatan terbaharu di Facebooknya malam ini, beliau berkata, tindakan itu bagi memastikan rakyat diselamatkan dan ditempatkan di pusat pemindahan sementara dengan segera.

Jelasnya lagi, tindakan itu diambil selepas beliau mendengar taklimat daripada NADMA mengenai keadaan banjir yang melanda beberapa negeri ekoran hujan lebat secara berterusan, pada Jumaat.