MALAYSIA
Kes tular: Pemandu bas bawa murid tadika terlibat kemalangan dipenjara 7 hari

Sebelum ini, media melaporkan, pemandu bas kepenatan dan tidak cukup tidur dipercayai menjadi punca kemalangan di Jalan Persiaran Universiti 1 Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang. - Gambar fail
PETALING JAYA: Seorang pemandu bas membawa sekumpulan murid tadika yang terlibat kemalangan di Universiti Putra Malaysia (UPM) Sabtu lalu, dihukum penjara tujuh hari dan denda RM8,000 di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.
Ringkasan AI
- Seorang pemandu bas dijatuhi hukuman penjara tujuh hari dan denda RM8,000 selepas mengaku bersalah memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kemalangan melibatkan murid tadika di UPM pada 2 Ogos.
- Tertuduh turut hilang kelayakan memegang lesen selama lima tahun, dan mahkamah menetapkan hukuman penjara bermula hari ini dengan syarat tambahan termasuk laporan berkala ke balai polis.
- Pendakwaan menekankan kepentingan awam berikutan kecuaian tertuduh yang menyebabkan kecederaan kepada tiga murid dan seorang guru, manakala tertuduh memohon hukuman ringan atas faktor keluarga dan kesihatan ibu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Jalan Persiaran Universiti 1 di sini pukul 12.18 tengah hari pada 2 Ogos lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan boleh dihukum di bawah akta yang sama, memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000 dan maksimum RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara bermula hari ini dan sekiranya tertuduh gagal membayar jumlah denda, dia boleh dipenjara tujuh bulan. Tertuduh membayar denda berkenaan.
Selain itu tertuduh juga hilang kelayakan untuk memegang atau memiliki lesen selama lima tahun.
Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon mahkamah mengenakan hukuman ringan dengan alasan menanggung keluarga.
"Saya hanya kerja sambilan. (Jadi) kalau ada kerja adalah gaji. Ibu di kampung sakit,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurain Syafiqeen Mohd Rozi memohon hukuman setimpal dengan mengambil kira fakta kes semasa kejadian.
"Tertuduh telah memandu dalam keadaan yang cuai dan berbahaya selain tiga orang kanak-kanak dan seorang guru cedera. Pihak pendakwaan juga mohon mahkamah mengambil kira faktor kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh," kata Nurain.
Sebelum ini, media melaporkan, pemandu bas itu dipercayai keletihan dan tidak cukup tidur, menjadi punca kemalangan di UPM.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Muhamad Farid Ahmad memaklumkan, siasatan awal mendapati pemandu berusia 44 tahun itu mengaku terlelap sewaktu kejadian akibat tidak mendapat rehat yang mencukupi.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami