MALAYSIA
LHDN tak boleh ikut telunjuk sesiapa, cadang bawah seliaan Parlimen - Ka Siong

Menurut Wee Ka Siong, kuasa LHDN yang terlalu luas memerlukan semakan semula, agar ia tidak menjadi alat kepada mana-mana pihak eksekutif, tanpa mengira siapa yang memerintah - Foto fail
KUALA LUMPUR: Reformasi struktur secara menyeluruh perlu dilakukan ke atas Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi menjamin kebebasan, ketelusan serta mengelak daripada pengaruh politik dan tekanan fiskal kerajaan.
Ringkasan AI
- Datuk Seri Wee Ka Siong mencadangkan reformasi menyeluruh terhadap LHDN agar dijadikan badan berkanun bebas di bawah seliaan Parlimen bagi menjamin ketelusan dan mengelak pengaruh politik serta tekanan fiskal.
- Beliau merujuk model negara maju seperti AS, UK dan Australia yang mengasingkan agensi kutipan cukai daripada kawalan eksekutif, dan menegaskan LHDN tidak seharusnya tertakluk kepada arahan Menteri Kewangan.
- Wee turut menegur kelewatan bayaran balik cukai yang membebankan PKS dan mencadangkan kuasa mentafsir cukai serta rayuan diletakkan di bawah entiti bebas untuk elak penyalahgunaan kuasa.
"LHDN tidak boleh terus beroperasi di bawah kawalan terus Menteri Kewangan, seperti yang ada sebelumnya dan sekarang.
"Maka, saya mencadangkan agar LHDN dijadikan satu badan berkanun bebas di bawah seliaan Parlimen, sebagai pemisahan jelas agar LHDN tidak dipengaruhi oleh kepentingan politik, dan tekanan fiskal negara," katanya.
Ka Siong menambah, langkah tersebut bukan asing dan telah dilaksanakan di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK) dan Australia.
“Di AS, Internal Revenue Service (IRS) diawasi secara langsung oleh Kongres dan tidak berada di bawah kuasa Presiden.
"Di UK, His Majesty’s Revenue and Customs (HMRC) pula merupakan jabatan bebas dengan lembaga pengarah tersendiri dan tidak tertakluk kepada arahan harian menteri.
“Begitu juga di Australia, Australian Taxation Office (ATO) hanya bertanggungjawab kepada Parlimen, bukan pihak eksekutif,” katanya lagi.
Dalam sesi perbahasan sama, beliau turut menegur kelemahan dalam sistem bayaran balik cukai, yang didakwa membebankan golongan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
"Seperkara lagi, sejak kebelakangan ini terdapat banyak rungutan dalam PKS... mereka mengadu bayaran balik cukai mengambil masa terlalu lama sehingga bertahun-tahun dalam sesetengah kes.
"Ini menjadikan kerajaan seolah-olah meminjam paksa wang rakyat tanpa faedah," ujar beliau.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kuasa mentafsir cukai, meluluskan pelepasan, dan mengendalikan rayuan diletakkan di bawah entiti bebas.
"... (LHDN) tidak boleh tertakluk atau mengikut telunjuk sesiapa yang berkuasa," jelasnya.
RMK13 dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pada Khamis lalu.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami