ALOR SETAR: Kerajaan Negeri Kedah meminta rakyat negeri itu supaya menangguh dahulu perjanan ke Hat Yai, Thailand berikutan banjir besar yang melanda wilayah itu ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, orang ramai yang merancang untuk melancong atau ke sana atas urusan kerja dinasihat mempertimbangkan semula hasrat mereka.

Beliau berkata, sekiranya masih perlu ke sana, orang ramai diminta mendapatkan maklumat yang tepat dan terkini bagi mengelak terperangkap di kawasan ditenggelami banjir.

Katanya, mereka juga dinasihatkan berhubung dengan pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla bagi mengetahui perkembangan terkini sebelum masuk ke Selatan Thailand yang berjiran dengan negeri ini.

"Saya menasihati rakyat negeri Kedah, termasuk yang telah membuat tempahan awal untuk bercuti untuk pertimbang semula rancangan berkenaan disebabkan keadaan banjir yang melanda di Selatan Thailand.

"Kalau boleh, saya cadang batalkan dahulu tempahan atau tangguhkan dahulu. Tapi jika tiada pilihan, sila jaga keselamatan masing-masing dan ambil tahu perkembangan semasa yang terkini di sana," katanya di sini, hari ini.

Banjir: Perkhidmatan kereta api Hat Yai-Bangkok terjejas

Hujan lebat 2 hari, Hat Yai dilanda banjir


Sebelum ini Astro AWANI melaporkan seorang rakyat Malaysia berkongsikan detik cemas dilaluinya yang terpaksa meninggalkan Hat Yai, Thailand dengan segera selepas banjir mula melanda bandar raya yang terletak berdekatan dengan sempadan Thailand-Malaysia itu.

Menerusi perkongsian di Twitter, pengguna dengan nama @cairhman_GLC berkata, dia bergegas meninggalkan bandar raya tersebut selepas mendapat amaran untuk mengelakkan daripada terperangkap di wilayah berkenaan.

Media Thailand juga melaporkan, banjir yang melanda wilayah berkenaan turut menenggelamkan beberapa jalan utama selain menjejaskan perkhidmatan kereta api Hat Yai-Bangkok sejak Ahad lalu.