Skip to main content

Malaysia

Banjir: Tawau diisytihar kawasan bencana

Sumber: FB 8hannels
APM Daerah Tawau memaklumkan pemantauan di kawasan berisiko banjir bermula seawal jam 3.55 pagi dengan pasukan digerakkan ke beberapa lokasi hotspot. - Foto media sosial/8hannels
Advertisement

TAWAU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Tawau hari ini mengisytiharkan daerah itu sebagai kawasan bencana banjir susulan hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi.

Pengerusi JPBD Tawau, Mohd Shoffian Mohd Said, berkata pengisytiharan itu berkuat kuasa pada jam 8.30 pagi, bagi membolehkan semua agensi berkaitan menyelaras tindakan menghadapi kemungkinan banjir menjadi lebih buruk.

Beliau berkata, langkah itu diambil selepas keadaan cuaca tidak menentu selain faktor air pasang yang direkodkan mencecah 2.4 meter pada awal pagi.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Tawau memaklumkan pemantauan di kawasan berisiko banjir bermula seawal jam 3.55 pagi dengan pasukan digerakkan ke beberapa lokasi hotspot.

Antara kawasan dipantau ialah Mid Valley, Taman Rainbow, Tanjung Batu Keramat dan Jalan Bunga Raya.

Hasil pemantauan mendapati bacaan air di Mid Valley dan Taman Rainbow masing-masing sekitar 0.5 meter, manakala Jalan Bunga Raya merekodkan paras air 0.4 meter, namun semuanya masih dalam keadaan terkawal.

Menurut APM, bacaan paras air sungai pada jam 8 pagi ialah 1.6 meter dengan trend menunjukkan penurunan walaupun keadaan cuaca ketika pemantauan masih gerimis.

Setakat ini, tiada jalan terputus, tiada kampung terputus hubungan dan tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka kerana keadaan masih terkawal.

APM turut menempatkan seorang pegawai dan sembilan anggota bersama aset sebuah Medium Rescue Vehicle (MRV) dan sebuah Light Rescue Vehicle (LRV) bagi menjalankan rondaan serta bersiap siaga menghadapi sebarang kemungkinan.

Orang ramai, khususnya penduduk di kawasan rendah dan berhampiran sungai, dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada serta mematuhi arahan pihak berkuasa sekiranya keadaan banjir bertambah buruk.

Pihak Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tawau memaklumkan perkembangan semasa akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

Must Watch Video

Advertisement