DUNGUN: Hampir 800 mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau, di Dungun terpaksa berpindah selepas PPS berkenaan dinaiki air.

Hujan lebat berterusan sejak awal pagi Rabu mengakibatkan kawasan terbabit ditenggelami air sehingga tiga meter.

Operasi pemindahan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung menggunakan 20 buah bot.

Menurut pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Durian Mentangau, Mohd Suhaimi Shamsudin, kesemua mangsa dipindahkan dengan menaiki bot sebelum dibawa dengan lori ke Sekolah Menengah Kebangsaan Felda Kerteh Tiga, Dungun.

"Kita dapat arahan DO untuk semua pinda, kita tutup PPS di sini kerana PPS ini dinaiki air.

"Sekarang ini air sudah naik tinggi jadi kita terpaksa bawa keluar mangsa. Selain itu bekalan elektrik dan air terputus," katanya.

Menurutnya, penduduk berpindah ke PPS pertama di Sekolah Kebangsaan Durian Mentangau selepas kediaman masing-masing dinaiki air ekoran limpahan dari Sungai Paka sejak Ahad.

Daerah Dungun mengaktifkan 440 PPS yang menempatkan 5,740 mangsa membabitkan 1,516 keluarga.