SHAH ALAM: Tiada istilah pilih kasih ketika menjalankan kerja-kerja menyelamatkan mangsa banjir sepertimana yang didakwa sesetengah pihak.

Sebaliknya, semua anggota yang terlibat dalam melaksanakan tugas mereka sentiasa meletakan nyawa dan kepentingan awam di hadapan tanpa batasan kaum dan agama, kata Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid.

Bahkan, bantuan yang dilakukan pasukan bomba juga, kata Mohammad Hamdan, merangkumi kerja-kerja mencari dan menyelamat, menyediakan barangan keperluan, makanan serta memindahkan mangsa kepada semua yang terkesan dalam bencana banjir termasuk warga asing.

“Kita tidak ada pilih kasih kerana kita dapati beberapa kenyataan yang boleh menyentuh motivasi moral pegawai penyelamat kita yang menyatakan kita memilih-milih orang.

“Kita tidak ada (pilih kasih)… sedangkan pendatang asing dekat ladang pun telah kita pikul. Baik orang Indonesia ataupun Bangladesh kita pikul kerana kita tahu nyawa mereka juga berharga,” kata Mohammad Hamdan dalam sidang media di sini, hari ini.

Sebelum melakukan kerja mencari dan menyelamat, pasukan bomba juga, jelas beliau, perlu melakukan penilaian yang teliti berhubung keadaan mangsa banjir.

Menurut beliau, ini bagi memastikan semua pihak tidak berdepan dengan sebarang risiko mahupun kejadian yang tidak diingini.

“ Tetapi oleh kerana risiko air deras ini kita lebih suka menasihatkan dia (mangsa) tunggu dulu… tunggu sehingga cahaya (waktu) siang itu akan tiba pada masa yang sama kederasan air itu mula menurun baru kita selamatkan mereka.

“Adalah lebih baik kita tunggu… mereka ini mungkin lapar, kta percaya mereka lapar (kerana) 12 jam menunggu. Kita mungkin memahami keadaan mereka nak minum air, kita faham.

“Tetapi daripada dia (mangsa berdepan) risiko kemalangan kelemasan, adalah lebih selamat dia menunggu dahulu makanan yang akan kita hantar dan juga kita akan pindahkan,” jelas beliau lagi.

[LAPOR LANGSUNG] Bencana banjir Selangor: Angka korban mencecah 24 orang - MB

Dalam masa sama, Mohammad Hamdan juga menasihatkan orang ramai agar patuh segala arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa dalam menangani bencana banjir terutamanya arahan berpindah.

Tegas beliau, ini kerana masih ada segelintir mangsa yang enggan berbuat demikian walaupun telah dinasihatkan agar berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).

“Banyak berlaku kes kerana di peringkat awal kita lihat bahawa kenaikan air sudah nyata sampai ke paras lutut dan kita minta penghuni atau keluarga itu untuk pindah ke tempat yang kita akan bawa iaitu di PPS yang telah ditetapkan oleh NADMA (Agensi Pengurusan Bencana Negara).

“Tetapi mereka cakap mereka lebih tahu topografi tempat mereka itu dan mereka kata tahun lepas tidaklah banjir.

“Selepas itu bila kita (bomba) beralih ke tempat lain, air di situ mendadak naik dengan deras dengan bahayanya. Mula mereka memanggil kita, namun oleh kerana kita masih lagi beroperasi di tempat lain kemungkinan untuk kita datang semula ke tempat mereka itu akan memakan masa,” jelas Mohammad Hamdan lagi.