KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penyiasat memberitahu Mahkamah Sesyen di sini hari ini bahawa beliau telah membuat semakan dengan Jabatan Imigresen berhubung perjalanan bekas Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man ke luar negara termasuk London bagi tempoh 2013 hingga 2017.
Penolong Bahagian Siasatan Cawangan AMLA, Bahagian Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohamad Safwan Arbangi, 33, berkata demikian ketika disoal balas oleh peguam Burhanudeen Abdul Wahid, yang mewakili Azlan pada perbicaraan kes mengemukakan tuntutan palsu dan menerima wang hasil aktiviti haram.
Advertisement
Mohamad Safwan bersetuju dengan peguam bahawa kelayakan percutian Azlan ke luar negara dari 2013 hingga 2017 hanya ke London.
Saksi pendakwaan ke-19 itu juga bersetuju dengan peguam bahawa adalah menjadi suatu kesalahan apabila perjalanan tersebut tidak dilakukan.
Ditanya sama ada beliau membuat sebarang semakan dengan Jabatan Imigresen berhubung perjalanan bekas Menteri Besar berkenaan dari Kuala Lumpur ke London atau ke mana-mana dalam tempoh lima tahun itu, Mohd Safwan menjawab “ada”.
Burhanudeen: Apakah peruntukan undang-undang yang menyatakan apabila perjalanan dibatalkan, wang perlu dipulangkan atau ia cuma prosedur sahaja?
Mohamad Safwan: Ya, prosedur.
Semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Noralis Mat, saksi itu berkata Azlan memohon perjalanan percutian itu menggunakan kaedah Pesanan Tempatan (LO) dari 2013 hingga 2017.
Beliau berkata oleh itu, Azlan perlu mengikut permohonan yang telah dilampirkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis selain mematuhi segala prosedur dan tatacara.
Noralis: Kesimpulannya, kamu telah menjalankan siasatan kes itu secara menyeluruh.
Mohamad Safwan: Betul.
Azlan, 67, berdepan lima pertuduhan berkaitan tuntutan palsu bagi kemudahan cuti ke luar negara berjumlah lebih RM1.18 juta, yang didakwa dilakukan di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis antara Disember 2013 dan Disember 2017.
Tuntutan itu melibatkan sebut harga tiket penerbangan ke London, United Kingdom serta invois daripada syarikat pelancongan Sri Kedawang Travel & Tour (W) Sdn Bhd (SKTT) dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.
Beliau juga didakwa atas lima pertuduhan menerima wang hasil aktiviti haram berjumlah RM1.06 juta antara 19 Feb 2014 dan Disember 2017 di beberapa lokasi termasuk cawangan Maybank Jalan Tuanku Abdul Rahman, CIMB Bank cawangan Putrajaya serta Hotel Sheraton Imperial di sini.
Selain itu, Azlan berdepan lima pertuduhan pilihan menyalahgunakan wang sebanyak RM1.06 juta milik Kerajaan Negeri Perlis yang dibayar kepada SKTT dan Aidil Travel & Tours Sdn Bhd.
Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 30 April ini.
-- BERNAMA