KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) menjangkakan keadaan cuaca di negeri-negeri utara Semenanjung Malaysia bertambah baik.

Ini susulan lekukan tropika di sekitar kawasan itu yang menunjukkan tanda-tanda lemah, katanya dalam kenyataan pada Selasa.

"Lekukan tropika di sekitar utara Semenanjung telah melemah dan hujan dijangka akan lenyap sepenuhnya.

"Keadaan cuaca di negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan utara Perak dijangka bertambah baik," katanya.

Sehubungan itu, MetMalaysia menamatkan amaran hujan berterusan yang dikeluarkan buat negeri-negeri terlibat itu pada pukul 6.45 pagi hari ini.

Ujarnya, bagi mereka yang ingin mengikuti perkembangan semasa berkenaan cuaca terkini negara boleh mendapatkan maklumat di laman web rasmi, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi MetMalaysia. 


BACA: "Orang utara, siap sedia kemungkinan banjir nak mai"     

[LAPOR LANGSUNG] Bencana banjir 2021: 17 terkorban akibat banjir di Selangor

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menasihatkan supaya penduduk di empat negeri terbabit bersiap sedia berdepan kemungkinan banjir berikutan amaran yang dikeluarkan oleh MetMalaysia berhubung hujan berterusan di kawasan itu, awal pagi tadi.

Ujarnya, beliau tidak mahu kejadian banjir seperti di Selangor berulang apabila kebanyakan penduduk tidak bersedia menghadapi bencana itu sehingga mengakibatkan kerugian harta benda dan kehilangan nyawa.