TELUK INTAN: Mangsa banjir di beberapa kampung di Teluk Intan merayu kerajaan agar segera memindahkan mereka ke kawasan perumahan yang lebih tinggi kerana sudah tidak mampu lagi untuk keluar masuk dengan kerap ke pusat pemindahan sementara (PPS).

Mereka mendakwa, dijanjikan projek pemindahan sedemikian oleh kerajaan sejak lima tahun lalu.

Malah, sepanjang November sahaja, mereka telah dua tiga kali keluar masuk ke PPS di Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak di sini.

Penduduk Kampung Lorong Mesra, Changkat Jong, Mohd Azrol Abdullah, 32, berkata sejak tinggal di kampung itu lapan tahun lalu, beberapa kali dalam setahun, rumahnya dilanda banjir, termasuk dua kali bulan ini.

“Kira-kira lima tahun lalu, dikatakan kami nak dipindahkan ke Kampung Ayer Hitam, tapi sampai sekarang dah lima tahun tunggu….tak ada, senyap terus.

“Kami minta projek tu diteruskanlah, kami orang kampung pun rasa dah penatlah dah, berulang-ulang dengan air banjir ini,” dakwanya ketika ditemui di PPS Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak hari ini.

Seorang lagi penduduk kampung sama, Rashidah Darus, 35, mendakwa setiap kali penduduk meminta bantuan untuk baik pulih rumah akibat banjir, mereka diminta tunggu kerana kononnya akan dipindahkan.

“Minta dipindahkanlah kami… dah tak lalu setiap tahun barang-barang dalam rumah seperti televisyen dan mesin basuh habis jahanam,” keluhnya.

Bagi Saadiah Yaacob, 65, dari Kampung Lorong Sidang Osman, bulan ini sahaja sudah tiga kali dia dan keluarga dipindahkan ke PPS.

“Sudah tak larat rasanya, kalau dapat biarlah kami pindah terus saja ke tempat yang tinggi.

“Kalau dapat rumah yang murah-murah pun tak apa asalkan dapat kami duduk berteduh,” katanya.

Sementara itu, sehingga jam 4 petang Rabu, bilangan mangsa banjir di PPS Dewan Serbaguna Kampung Padang Tembak meningkat kepada 130 orang daripada 35 keluarga berbanding hanya 23 orang dari empat keluarga ketika mula dibuka, pada Isnin malam.

Kesemua mangsa terdiri daripada penduduk Kampung Lorong Mesra; Kampung Batu 9, Kampung Changkat Jong; Kampung Lorong Sidang Osman; Kampung Lorong Kedah dan Kampung Batu 8, Changkat Jong.