Bantahan dari segelintir badan bukan kerajaan (NGO) terhadap setiap penguatkuasaan undang-undang yang dijalankan oleh pihak polis telah membuatkan perjalanan setiap kuatkuasa undang-undang gagal dipatuhi secara menyeluruh.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata apabila usaha polis untuk menguatkuasakan peraturan dan undang-undang jalan raya, akan wujud pula pihak-pihak yang akan mengatakan bahawa polis tidak berhati perut kerana terlalu tegas.

“Sebagai contoh, apabila kita menguatkuasakan undang-undang pemakaian topi keledar di satu kawasan luar daerah, kami dapati hampir setengah penuntut tidak hadir ke sekolah,” katanya ketika sidang media selepas Majlis Pemakaian Pangkat Ketua Polis Negeri di Bukit Aman.

Menurutnya, masyarakat perlu peka dengan keadaan-keadaan keselamatan kerana mereka tidak boleh kompromi dengan soal keselamatan jalana raya.

“Walaupun semalam, statistik kemalangan mencatatkan kadar kematian sebanyak 10 kematian. Statistik kemalangan sebenarnya masih lagi mencatatkan penurunan. Kita masih tidak berpuas hati sebenarnya kerana kemalangan masih lagi berlaku,” kata Khalid.

Penguatkuasaan dari pihak berwajib telah dijalankan dengan sebaik mungkin dalam memberi kesedaran dan peringatan mengenai keselamatan jalan raya namun sikap pengguna-pengguna jalan raya sendiri yang tidak mematuhi peraturan jalan raya telah menambahkan lagi kadar kemalangan di jalan raya.

“Tahun lepas sahaja, terdapat 6,900 kematian dicatatkan berbanding 6,700 pada tahun sebelumnya. Nampak gaya, pendekatan menggunakan nasihat dan penguatkuasaan ini bagaikan tidak berkesan dan saya fikir adalah lebih elok menggunakan pendekatan penguatkuasaan secara menyeluruh dalam mengekang kadar kemalangan yang berlaku ini,” katanya.

Jika penguatkuasaan menyeluruh dilaksanakan, maka tiada lagi kelonggaran seperti budi bicara atau saman diskaun akan diberikan ketika itu.

Tambahnya lagi, sebanyak 1000 kematian bagi 30,000 kenderaan berdaftar dicatatkan di Australia berbanding di Malaysia, sebanyak 6,900 kematian bagi 25,000 kenderaan berdaftar dicatatkan.

“Kenapa kita tidak boleh mencapai statistic seperti itu sekurang-kurangnya. Saya percaya punca utama kepada kemalangan ini ialah sikap pengguna jalan raya itu sendiri yang sering tidak mematuhi peraturan undang-undang,” katanya lagi.

Beliau sebelumnya memakaikan pangkat-pangkat kepada 18 orang Ketua dan Timbalan Polis Negeri yang samada akan bertukar tempat bertugas dan portfolio.