Kempen War on Dengue terus aktif membantu kerajaan tingkatkan kesedaran tangani wabak denggi.
“Tidak Peduli? Maut Menanti” – slogan yang penuh impak dan jelas daripada Kementerian Kesihatan Malaysia sebagai langkah proaktif terhadap kes demam denggi yang kini semakin membimbangkan. Demam denggi adalah penyakit bermusim yang biasa terutama di negara beriklim tropika seperti Malaysia. Memahami situasi serius ini, pembentangan Bajet 2015 pada Oktober lalu memperlihatkan tindakan kerajaan memperuntukkan RM30 juta pengagihan 55,000 kit ujian denggi kepada semua klinik swasta bagi menjalankan diagnosis darah untuk mengesan demam denggi. Malah usaha mengurangkan peratusan kes ini harus ditangani bersama melibatkan kerajaan, institusi akademik dan komuniti yang harus berganding bahu untuk membasmi isu serius ini. Menyedari kepentingan ini, iM4U mengambil langkah pertama dengan melancarkan kempen War on Dengue (WOD).
dsfwefwefdw.jpg
STATISTIK DENGGI
Menurut kajian Hospital Taiping (2014), penyakit demam denggi, iaitu penyakit bawaan nyamuk yang mempunyai kuman virus denggi didapati berlaku dengan lebih meluas di kawasan bandar1. Manakala menurut The Malaysian Medical Gazette (2014), antara faktor yang menyebabkan pembiakan nyamuk Aedes atau pembiakan ‘vektor’ lebih mudah di Malaysia berpunca daripada keadaan iklim tropika yang menerima gabungan sinaran matahari terik dan hujan sepanjang tahun2. Memburukkan lagi keadaan adalah kerana tempat pembiakan nyamuk Aedes lazimnya terjadi secara tidak sengaja, seperti membiarkan takungan air di halaman rumah atau membiarkan takungan air sampah sarap. Hingga Oktober 2014, kes denggi mencapai tahap yang amat membimbangkan dengan jumlah kes sebanyak 77,527 berbanding 23,099 kes tahun lepas. Sejumlah 38,029 kes yang dilaporkan adalah di Selangor sahaja.

Antara keseluruhan kes yang dilaporkan, sebanyak 149 kes menyebabkan kematian dalam hanya tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding hanya 48 kematian dalam tempoh yang sama tahun lepas3. Ini memberikan bukti jelas bahawa wabak denggi kini menjadi isu nasional yang harus ditangani bersama.


Selain kempen WOD yang dilancarkan awal tahun ini, usaha berterusan iM4U dikukuhkan lagi dengan pembukaan pusat Dengue 1 Stop Centre di Pantai Ria, Lembah Pantai dirasmikan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan, Datuk Sri Dr. Noor Hisham Abdullah. Fungsi Utama D1SC:
1. Pusat pendaftaran untuk sukarelawan yang ingin melibatkan diri dengan aktiviti menghindari denggi.
2. Melatih sukarelawan dan ahli komuniti untuk menjalankan pemeriksaan kesihatan mengikut prosedur yang dilaksanakan pegawai-pegawai kementerian.
3. Mendidik dan menggalakkan komuniti melalui penggunaan bantuan audio visual termasuk pengedaran bahan-bahan pendidikan wabak denggi di pusat-pusat komuniti, pusat keagamaan, sekolah, kolej dan universiti bagi memupuk tabiat penindasan denggi yang berkesan.
4. Pusat utama melaporkan kes-kes terkini berkaitan pembiakan denggi dengan mengaktifkan langkah-langkah segera pembasmian oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Kementerian Kesihatan.