KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) akan memulakan proses proses libat urus dengan penyedia platform besar seperti Google, Meta, dan TikTok bagi mengembalikan hasil perbelanjaan pengiklanan kepada organisasi media di negara ini.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata, inisiatif itu dijangka akan sedikit sebanyak membantu industri media menjana pendapatan tambahan.

"Nasib kakitangan media akan terjejas dan mungkin ke tahap hilang kerja apabila organisasi media tidak dapat menjana pendapatan yang baik," katanya dalam ciapan di Twitter.

Tambah beliau lagi, antara permintaan industri media tempatan adalah untuk kerajaan membantu mereka mendapatkan semula hasil perbelanjaan pengiklanan yang ketika ini keuntungan dikaut oleh syarikat gergasi teknologi antarabangsa.

Sementara itu, sebagai kerajaan, beliau perlu ambil tanggungjawab, atas kapasiti menteri untuk membantu.

Fahmi dalam ucapan pada Perhimpunan Bulanan KKD, semalam dilaporkan berkata, kementeriannya juga berhasrat untuk menggubal Rang Undang-Undang (RUU) supaya hasil perbelanjaan pengiklanan sedikit sebanyak dikembalikan demi kelangsungan organisasi media di negara ini.

Beliau berkata, penggubalan RUU itu perlu dilakukan kerana tidak mahu melihat lebih ramai pengamal media kehilangan kerja atau terpaksa hadapi keadaan Skim Pemisahan Sukarela (VSS).