LIPIS: Seramai 886 peserta dari tujuh buah Rancangan Sosial Perbadanan Kemajuan Pertanian Pahang (PKPP) menerima bantuan Hari Raya Aidilfitri sebanyak RM700 seorang bermula hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan yang melibatkan implikasi kewangan sebanyak RM606,200 itu merupakan komitmen yang telah dilaksanakan sejak 2015.

"PKPP telah memberi sumbangan Hari Raya Aidilfitri sejak 2015 sehingga kini, dengan jumlah keseluruhan RM4.86 juta.

"Pemberian ini merupakan bukti bahawa PKPP diuruskan dengan baik walaupun melalui fasa sukar seperti masalah pekerja, COVID-19 dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Aidilfitri PKPP di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah, dekat sini, hari ini.

Jelas Wan Rosdy, bantuan tersebut sebagai tanda keprihatinan kerajaan negeri terhadap peserta rancangan sosial PKPP bagi meringankan beban perbelanjaan mereka untuk menyambut hari raya.

Tujuh buah rancangan sosial terlibat ialah Rancangan Penempatan Semula (RPSK) Merapoh, RPSK Jerkoh, RPSK Peruang selain Rancangan Tanah Pemuda (RTP) Sungai Ular, Sri Gemuruh, Kampung Awah dan Ladang Kecil Sungai Charu.

Sempena majlis itu turut diadakan penyampaian Bantuan Khas Aidilfitri kepada 325 orang Pengerusi JPKK, JPKKOA, Tok Batin, Setiausaha JPKK dan Ibu Tunggal bagi DUN Benta, Cheka dan Padang Tengku.

Selain itu, sumbangan sebanyak RM1,000 diberikan kepada Masjid Daerah Lipis serta RM750 kepada masjid dan surau dalam rancangan sosial PKPP di daerah Lipis.

Turut menerima sumbangan ialah kepada tabung JPKK RPSK Merapoh, Peruang, Jerkoh dan RTP Sg Ular yang menerima sebanyak RM2,500 setiap rancangan dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM10,000.