KUALA LUMPUR: Keputusan kerajaan untuk meneruskan pembayaran Bantuan Khas Kewangan dan tambahan khas RM100 dalam bayaran Kenaikan Gaji Tahunan (KGT), membuktikan keprihatinan dan penghargaan terhadap pengorbanan penjawat awam.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Adnan Mat berkata, tiada sebarang sebab untuk kerajaan tidak meneruskan inisiatif yang berbentuk kebajikan kepada penjawat awam setelah pelbagai khidmat bakti dicurahkan kepada rakyat dan negara.

Cuepacs, katanya berpendapat masih banyak inisiatif yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan dalam konteks hal-hal kebajikan dan penambahbaikan skim perkhidmatan penjawat awam.

"Alhamdulillah kerajaan telah menerima pandangan yang diberikan oleh Cuepacs apabila tetap meneruskan pembayaran Bantuan Khas Kewangan RM700 kepada anggota perkhidmatan awam Gred 56 ke bawah pada Januari 2023 serta tambahan khas RM100 dalam bayaran KGT.

"Dalam masa yang sama, Cuepacs telah menghantar surat rasmi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengadakan perjumpaan bagi membincangkan isu-isu membabitkan penjawat awam yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Jelas Adnan, banyak resolusi berkaitan kebajikan dan penambahbaikan skim perkhidmatan penjawat awam telah dicapai dalam konvensyen tritahunan pada 17 hingga 19 Disember lalu.

Katanya, isu utama yang dibangkitkan oleh perwakilan adalah mengenai sistem saraan perkhidmatan awam yang sudah ketinggalan dan tidak sesuai dengan persekitaran ekonomi semasa.

Para perwakilan juga, tambah Adnan berpendapat sudah tiba masanya untuk kerajaan menetapkan gaji minimum penjawat awam kepada RM1,800 sebulan berbanding RM1,200 sebulan ketika ini.

"Cuepacs berharap pertemuan dengan Perdana Menteri kelak dapat memberi gambaran sebenar kepada kerajaan mengenai tuntutan yang dimohon oleh Cuepacs dan penjawat awam," katanya.

Terdahulu, kerajaan bersetuju untuk meneruskan KGT Tambahan Khas 2023 sebanyak RM100 kepada semua penjawat awam Gred 11 hingga 56, dan memberikan Bantuan Khas Kewangan kepada 1.3 juta penjawat awam gred 56 ke bawah sebanyak RM700 dan satu juta pesara kerajaan sebanyak RM350.

Pengumuman itu dibuat Perdana Menteri ketika membentangkan Rang Undang-Undang Kumpulan Wang Disatukan (Perbelanjaan Masuk Akaun) 2022 dan usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan Sementara 2023 di Dewan Rakyat.