KUALA LUMPUR: Selain penjawat awam, kerajaan mengumumkan bayaran Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri (BKKA) kepada pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan beruniform turut diawalkan iaitu pada 14 April atau lebih awal.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata langkah itu bagi membantu rakyat membuat persiapan menyambut Aidilfitri.

"Ini akan manfaat hampir satu juta penerima dalam kalangan pesawah, pekebun kecil getah, nelayan dan sukarelawan beruniform (Jabatan Sukarelawan Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Sukarelawan Bomba dan Sukarelawan Polis)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau dalam pada itu berkata, BKKA kepada kepada penjawat awam Gred 56 dan ke bawah juga diawalkan pada 14 April.

Mengulas lanjut tambah Anwar, selain BKKA sebanyak RM1.26 bilion diperuntukan menerusi pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah Fasa 2 (STR2) yang telah diawalkan mulai 5 April lalu.

Ia melibatkan seramai 8.7 juta penerima daripada golongan B40.

"Saya turut serta turun padang hari ini bagi melihat proses penunaian STR2 di Bank Simpanan Nasional (BSN) Cawangan Meru Raya.

"Alhamdulillah, proses dimudahkan dengan pembayaran dikreditkan terus ke akaun bank penerima, manakala penerima yang tiada akaun boleh membuat penunaian di semua cawangan BSN," katanya lagi.