Bapa bawa anak lakukan kegiatan penyeludupan PATI

Balveer Singh menunjukkan barang rampasan pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu. - Astro AWANI
KUBANG PASU: Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup 16 pendatang tanpa izin (PATI) selepas menahan tiga individu yang dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ dalam operasi Op Taring Delta, Rabu lalu.
Komander Briged Utara PGA, Senior Asisten Komisioner Balveer Singh, berkata serbuan yang dijalankan kira-kira jam 4 pagi itu mendapati semua PATI dibawa menggunakan dua buah kenderaan, iaitu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).
Menurutnya, siasatan awal mendapati seorang lelaki tempatan berusia 47 tahun membawa bersama anak perempuannya yang berusia 16 tahun bagi mengaburi pihak berkuasa sekiranya ditahan.
Lelaki itu dipercayai menjalankan kegiatan berkenaan bersama seorang rakan berusia lingkungan 40-an dan telah terlibat dalam jenayah pemerdagangan manusia sejak lebih lapan bulan lalu kerana menerima bayaran lumayan.
“Seramai 16 PATI terdiri daripada sembilan lelaki dan tujuh perempuan berusia antara 16 hingga 35 tahun, dipercayai warga Myanmar, ditahan di Plaza Tol Jitra arah selatan. Siasatan awal mendapati semua mereka memasuki negara ini melalui laluan tidak diwartakan dari negara jiran.
“Modus operandi ketiga-tiga warga tempatan ini adalah bertindak sebagai transporter dengan menggunakan kenderaan yang disewa. Mereka dipercayai telah menjalankan kegiatan ini beberapa kali sepanjang tempoh lapan bulan lalu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu.
Beliau berkata, pihaknya turut merampas dua buah kenderaan yang digunakan, 18 buah telefon bimbit, wang tunai dalam mata wang Malaysia serta pelbagai barangan kemas, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM254,030.
Katanya lagi, susulan tangkapan awal itu, PGA berjaya menahan seorang lelaki warga Myanmar berusia 30-an yang disyaki sebagai ketua sindiket di Nibong Tebal, Seberang Perai Utara Selatan, Pulau Pinang, pada hari berikutnya.
Hasil siasatan mendapati dua daripada suspek warga tempatan mempunyai dua rekod jenayah lampau, manakala ujian saringan awal air kencing terhadap ketiga-tiga suspek tempatan didapati negatif dadah.
Menurut Balveer Singh, keempat-empat suspek ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari sehingga 11 Februari, manakala 16 PATI direman selama 14 hari di bawah Akta Imigresen 1959/63 sehingga 28 Januari ini.
Kes diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kubang Pasu, dengan keempat-empat suspek disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun serta denda jika sabit kesalahan.
Bagi PATI pula, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi lima tahun atau denda tidak kurang RM10,000 atau kedua-duanya sekali, serta sebatan sehingga enam kali jika sabit kesalahan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


